Malaysia-China: Pelbagai Input Dikongsi Delegasi BN Bersama IDCPC

BEIJING, 21 Sept – Delegasi Barisan Nasional (BN) ke China yang diketuai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi pada Jumaat mengadakan pertemuan bersama Timbalan Menteri International Department Comunis Party of China (IDCPC), Madam Sun Haiyan dan pelbagai perkara menarik dapat dibincangkan.

Tentunya pertemuan tersebut berkisar kepada soal kerjasama dua hala antara parti selain hubungan sedia ada yang akan diperkukuh dari pelbagai sudut bagi memastikan jalinan diplomatik yang terpatri sekian lama benar-benar memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Dr Puad secara eksklusif berkata kepada UMNO Online, banyak perkara yang dibincangkan selain beberapa perkongsian yang cukup menarik disentuh menerusi pertemuan berkenaan.

“Banyak perkara yang telah kita bangkitkan dan banyak juga perkongsian yang kita dapat terutamanya bagaimana negara Republik China mengawal media sosial untuk mengatasi berita-berita palsu yang antara lain mempunyai aplikasi sendiri seperti WeChat dan sebagainya.

“Selain itu perkara-perkara lain yang kita bincangkan juga adalah tentang pelaksanaan sekolah politik CPC di mana mereka mempunyai kurikulum atau silibus dan program-program yang kompetensi untuk semua level ahli-ahli parti CPC dan ini juga amat menarik sebenarnya untuk kita pelajari daripada mereka,” katanya.

Dr Puad seterusnya berharap hubungan baik antara dua negara terus ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Kita harap hubungan baik antara BN dan CPC ini akan mendatangkan banyak manfaat kerana hubungan ini sudah lama berlaku iaitu sejak tertubuhnya BN pada tahun 1974. Ini ekoran daripada lawatan bersejarah Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak ke China pada bulan Mei 1974.

“Dan hingga ke hari ini kita terus mengadakan hubungan yang rapat dengan kedua-dua pihak iaitu CPC dan juga BN,” tambahnya.

Pertemuan yang mengambil masa hampir dua jam itu juga memberi ruang serta peluang kepada ahli rombongan lain untuk berkongsi pandangan serta mendapatkan input-input yang terbaik termasuklah berkaitan soal hal ehwal parti.

Antara yang mengikuti delegasi tersebut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam; Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO selain wakil parti komponen BN termasuk rakan-rakan BN yang lain. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.