Kerajaan Sentiasa Pentingkan Kesejahteraan Warga ATM – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Kerajaan sentiasa memberi penekanan terhadap kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain daripada soal kesiagaan aset ketenteraan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa beliau telah mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyantuni warga ATM di Mahkota, Johor.

“Mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatan kerja beliau ke Kem Mahkota, Johor. Turut mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Wira Hafizuddeain Jantan.

“Lawatan kerja tersebut meliputi tinjauan ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan kemajuan projek Poliklinik Kesihatan Angkatan Tentera Kem Mahkota.
Beliau turut melancarkan Program Jualan Istimewa Madani Angkatan Tentera (JIMAT) dan berkesempatan menyantuni warga ATM di Kem Mahkota.

“Lawatan kerja beliau adalah untuk melihat sendiri kemajuan pelaksanaan dasar dan inisiatif yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan demi memastikan kesejahteraan warga ATM terus terpelihara.

“Selain daripada soal kesiagaan aset ketenteraan, Kerajaan memberi penekanan terhadap kesejahteraan warga ATM. Ini termasuklah dalam soal perumahan, kesihatan, kebajikan, pendidikan dan pekerjaan.

“Pelbagai inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan dalam soal ini. Insya-Allah, Kementerian Pertahanan akan terus memastikan kesejahteraan warga ATM, keluarga mereka dan para veteran kita terus terpelihara.

“Kesemua ini adalah tanda terima kasih Kerajaan buat anggota tentera yang telah banyak berkorban dalam menjaga kedaulatan tanah air kita,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.