HAWA Lestari Sahut Kempen ‘Johor Bersih’, Timbulkan Kesedaran Masyarakat Cintai Kelestarian Alam

KLUANG, 20 Sept – Johor Bersih merupakan antara kempen Kerajaan Negeri Johor pimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi di bawah Teras Kelima Agenda Maju Johor iaitu Keselamatan, Kebersihan dan Alam Sekitar.

Rentetan itu, HAWA Lestari menyahut seruan kerajaan negeri itu dengan mengadakan kempen kesedaran dan memupuk semangat cintai kebersihan dan kelestarian alam untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Bertempat di Kampung Melayu Timur 2 di sini, Khamis, Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil melancarkan HAWA Lestari: Kluang Attack, satu program kesedaran cintai kebersihan alam sekitar dan pengumpulan barangan-barangan kitar semula.

Lokasi berikutnya di Taman Ilham, Taman Suria dan Kampung Mesjid Lama di sini.

Program HAWA Malaysia ini turut mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Global Law Thinkers Society (GLTS) dan CLNR.

Pengerusi HAWA Lestari Hasrunizah Hassan berkata sebelum ini pihaknya ada membuat sosial eksperimen mengenai kesedaran rakyat berkaitan kepentingan menjaga kebersihan.

“HAWA Lestari kita mulakan di Johor dengan HAWA Lestari: Kluang Attack. Kita ada buat beberapa eksperimen dua tiga hari lepas di Kluang, ada hantar kru-kru media kita untuk membuat ‘spy’ kesedaran di beberapa kawasan, kesedaran tentang menjaga kebersihan.

“Video (eksperimen) itu nanti kita akan viralkan, jangan lupa nanti ikuti TikTok HAWA Lestari dan sebagainya. Program ini akan kita panjangkan ke negeri-negeri lain tetapi kita mulakan dulu di Johor,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang itu lagi.

Jelasnya lagi, perkara yang penting adalah untuk memupuk kesedaran masyarakat agar bertanggungjawab terhadap sampah yang dihasilkan.

“Untuk kutipan sampah ‘recycle’ (kitar semula) ini kita baru mula, tetapi kita lebih kepada membina kesedaran masyarakat tentang “dia sendiri kutip sampah, buang sampah ke dalam tong sampah” tetapi dalam masa yang sama kita gerakkan lori supaya digalakkan ‘recycle’ barang-barang terpakai dan terbuang,” katanya.

Manakala Pengerusi GLTS Malaysia Mohd Nazri Faiz Che Abdul Aziz berterima kasih atas sokongan HAWA dan ia merupakan satu kerjasama yang sangat baik.

“Kami nak ucapkan terima kasih kepada HAWA Malaysia kerana beri peluang kepada kami. Misi yang paling penting adalah kita membina kesedaran berterusan. Dengan adanya kerjasama yang erat bersama HAWA Malaysia dan HAWA Lestari, kami yakin usaha yang dibuat ini akan diteruskan.

“Kita ada perbincangan dan insya-Allah akan diteruskan ke negeri-negeri lain. Program seperti ini bertepatan dengan negara maju Malaysia pada 2025. Insya-Allah perjuangan ini akan diteruskan untuk memastikan NGO juga ada peranan yang sangat penting untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Begitu juga bagi Hazim Pengurus Wilayah Johor CLNR Malaysia, pihaknya telah menjalankan aktiviti pengumpulan bahan buangan dan kitar semula sejak 12 tahun lalu dan mengucapkan terima kasih kepada HAWA Lestari yang sudi bekerjasama dengan pihaknya.

“Terima kasih HAWA Lestari kerana bersama-sama dengan kami membuat program ‘recycle’ yang mana kita sudah aktif sejak 2012, sudah 12 tahun kita buat kutipan untuk sisa pepejal dan kitar semula bagi kawasan-kawasan luar bandar.

“Yang mana kawasan bandar ada konsesi tetapi di luar bandar untuk syarikat kami. Hari ini kita dengan HAWA Lestari kita bergabung untuk membantu penduduk kampung dengan kutipan sisa pepejal dan juga kitar semula bagi kelestarian alam,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.