Kad Siswa Johor Beri Manfaat 25 Ribu Mahasiswa Anak Negeri – Onn Hafiz
KOTA ISKANDAR, 19 Sept – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersyukur Kad Siswa Johor bakal memberi manfaat kepada sekitar 25,000 mahasiswa anak negeri itu.
Kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu, inisiatif tersebut melalui Skim Bantuan Pendaftaran dan Pinjaman Pendidikan, serta menawarkan manfaat pelbagai diskaun kepada kira-kira 75,000 mahasiswa anak Johor.
“Saya percaya program ini dapat memberikan impak positif dan memperkukuh sokongan kita kepada mahasiswa, selari dengan Teras Ke-6: Orang Muda Johor di bawah Agenda Maju Johor.
“Semoga ia dapat membantu melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Negeri Johor. Insya-Allah,” catatnya dalam laman Facebook dan X.
Selanjutnya, Onn Hafiz mengucapkan terima kasih kepada sembilan syarikat atas usahasama dalam memberi diskaun dan menyokong inisiatif Kad Siswa Johor ini.
Syarikat tersebut adalah seperti KPJ Healthcare Bhd, Golden Screen Cinemas Sdn Bhd (GSC), Daily Fresh International Sdn Bhd, Al Ikhlas Gadget dan Farm Fresh Bhd.
Begitu juga syarikat Woodfire Burger (M) Sdn Bhd, Badan Cemerlang Sdn Bhd, Legoland Malaysia serta QSR Brands (M) Holding Bhd.
Tambah Onn Hafiz, beliau turut hadir dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan inisiatif Kad Siswa Johor di sini.
Jelas Onn Hafiz, inisiatif tersebut merupakan langkah strategik kerajaan negeri dalam memberikan sokongan kepada mahasiswa anak Johor di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), Kolej Komuniti, dan Politeknik.
“Penyerahan Kad Siswa Johor kepada para penerima Skim Bantuan Pendaftaran dan Pinjaman Pendidikan akan berlaku secara automatik, bermula pada 20 September 2024.
“Untuk mahasiswa yang tidak memohon bantuan ini, mereka boleh mendapatkan Kad Siswa Johor dengan membuka akaun di cawangan-cawangan Bank Muamalat.
“Diskaun Kad Siswa Johor akan mula berkuatkuasa selepas Pelancaran Rasmi pada pertengahan Oktober 2024,” katanya. – UMNO ONLINE