Malaysia Perlu Manfaat Teknologi Blockchain Untuk Pertingkat Kerangka Pensijilan Halal
KUALA LUMPUR, 19 Sept – Malaysia perlu memanfaatkan teknologi maju seperti blockchain dalam usaha meningkatkan kerangka pensijilan halalnya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bercakap pada Sidang Kemuncak Halal Global 2024 (GHAS 2024) di sini malam tadi, beliau berkata negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Australia sudah menggunakan terknologi itu untuk mempertingkat ketelusan serta memerangi penipuan dalam pensijilan halal.
“Dengan mengguna pakai teknologi ini, Malaysia mampu mengukuhkan proses-proses pensijilan halalnya, mengurangkan halangan perdagangan dan selaras dengan piawaian global.
“Langkah strategik ini akan meningkatkan keyakinan pengguna dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global yang terkemuka,” katanya.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal, berkata pelaburan dalam latihan profesional generasi baharu pensijilan halal adalah penting memandangkan ekonomi halal terus berkembang.
Beliau berkata dengan peningkatan permintaan global, langkah memperluas kumpulan pakar yang berkelayakan adalah penting untuk mengekalkan piawaian tertinggi dari segi ketulenan dan integriti.
Meskipun JAKIM kekal sebagai pusat dalam membimbing peralihan ini, Ahmad Zahid berkata kerangka kawal selia yang ditambah baik akan membantu menguruskan peningkatan permintaan secara efisien, menyelaras proses-proses pensijilan dan mengekalkan amalan halal yang konsisten serta boleh dipercayai.
Beliau juga berkata pensijilan halal pada asasnya dibangunkan atas dasar kepercayaan, ketelusan dan keyakinan yang merupakan ciri-ciri penting bagi institusi seperti JAKIM, yang memainkan peranan penting dalam proses ini.
Ahmad Zahid berkata walaupun usaha JAKIM dalam menambah baik pensijilan dan peraturan halal adalah sesuatu yang membanggakan, perkembangan pesat ekonomi halal memerlukan kerangka kawal selia serta tadbir urus yang utuh.
“Walaupun kuasa muktamad mengenai pensijilan halal terletak pada JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri sebagaimana yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja, sentiasa ada ruang untuk memartabatkan struktur tadbir urus ini agar seiring dengan landskap industri halal yang pesat berkembang,” katanya.
Selain itu, beliau berkata komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi untuk meningkatkan ekosistem industri halal menggariskan dedikasi negara ke arah kecemerlangan dalam pensijilan halal.
Ahmad Zahid berkata ketika Malaysia meraikan ulang tahun ke-50 dalam perjalanannya merintis industri halal, adalah penting untuk mengiktiraf sumbang mereka yang telah memperjuang amalan halal, memacu inovasi dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang Syariah. – BERNAMA