WHBC 2024: Ekonomi Halal Semakin Menarik Minat Masyarakat Global

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Ekonomi halal yang mementingkan amalan beretika semakin menarik minat masyarakat global, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, nilai pasaran halal global yang kini dianggarkan lebih USD 3 trilion tidak lagi terhad kepada sektor makanan dan minuman.

“Menyampaikan ucaptama seterusnya merasmikan Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC) 2024 yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur pada Selasa.

“Ekonomi Halal bukan lagi hanya terhad kepada sektor makanan dan minuman, tetapi telah berkembang meliputi sektor farmaseutikal, kosmetik, kewangan Islam serta pelancongan.

“Nilai pasaran halal global kini dianggarkan lebih USD 3 trilion dan dijangka terus meningkat, membuktikan bahawa Ekonomi Halal yang menekankan amalan beretika ini semakin menarik minat bukan sahaja umat Islam, tetapi juga masyarakat global,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, keperluan untuk melahirkan juruaudit halal yang mahir semakin tinggi seiring dengan kepesatan pembangunan industri halal pada ketika ini.

“Saya turut berkongsi mengenai kejayaan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri halal khususnya usaha berterusan dalam meningkatkan standard, inovasi dan kualiti yang kini kian membuahkan hasil.

“Dengan pesatnya membangunnya industri ini, keperluan untuk melahirkan juruaudit halal yang mahir, juga semakin tinggi. TVET pastinya adalah sebahagian solusi yang boleh dicerakinkan dalam menyantuni ekosistem halal yang semakin meluas ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yakin bahawa dengan segala inisiatif dan komitmen yang telah dirangka, ia mampu memangkin ekonomi negara secara keseluruhan.

“Saya yakin, dengan semua inisiatif dan komitmen yang telah dirangka kita boleh menggarap peluang di dalam Ekonomi Halal, sekaligus memangkin ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Semoga kita dapat terus membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi demi masa depan negara yang lebih cemerlang. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.