UMNO Labuan Terus Aktif Laksana Gerak Kerja Demi Rakyat
LABUAN, 17 Sept – Usaha bagi memastikan rakyat mendapat pembelaan demi kehidupan yang lebih selesa sentiasa dilaksana oleh UMNO Labuan dengan mengaktifkan gerak kerja turun padang dan mendengar keluhan mereka lantas mencari jalan bagi menyelesaikan permasalahan yang ada.
Ketuanya, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, rakyat sememangnya memerlukan saluran untuk menjadi jambatan antara mereka dengan kerajaan maka UMNO adalah wadah terbaik bagi melaksanakan usaha untuk membantu mereka.
Katanya, setiap masa kepimpinan UMNO Bahagian Labuan akan mencari jalan dan melaksanakan gerak kerja bukan sahaja berdamping dengan rakyat tetapi juga untuk meningkatkan pendidikan, ekonomi dan kehidupan sosial Pulau Labuan yang tentunya akan memberi pulangan kepada masyarakat setempat.
“Melalui UMNO, kita telah menyuarakan permohonan kepada kerajaan iaitu Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk jadikan Labuan sebagai hub pendidikan TVET dalam industri minyak dan gas di rantau Borneo pada Mac lalu.
“Maka hasilnya, penyerahan peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah kepada Pusat GiatMARA Labuan telah diadakan baru-baru ini bagi memulakan kursus memahiran minyak dan gas kepada 48 pelajar di kalangan anak-anak Labuan yang menelan belanja RM300,000 selain 25 pelajar dalam kemahiran Electric Vehicle dengan peruntukan 125,000.
“Syukur Alhamdulillah, tidak sampai setahun selepas suara dan usaha yang kami lakukan telah mula mendatangkan hasilnya. tidak ada kata selain mengucapkan syukur pada Allah SWT yang memberi kekuatan dan kemudahan untuk kami terus berkhidmat dan memperjuangkan nasib warga Labuan,” katanya kepada UMNO Online.
Sehubungan itu, beliau berharap agar anak-anak muda di Labuan tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk mengikuti kursus kemahiran dan seterusnya pihak GiatMARA akan mengusahakan pekerjaan selepas kursus itu selesai kelak.
Dalam perkembangan lain, Mohd Rafi memaklumkan bahawa Program Sentuhan Kasih dengan menyantuni masrakat setempat terus dilaksana dari semasa ke semasa selain memberikan bantuan termasuklah kepada surau-surau sebagaimana membina dan menyiapkan ruang sembayang dan tempat berwuduk di Surau Darussalam Patau-Patau 2.
“Kami juga mengunjungi keluarga daif dengan menyalurkan bantuan, insya-Allah akan dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan yang sentiasa membantu dan membela masyarakat yang susah di sini.
“Syukur Alhamdulillah kata-kata hikmah ‘jadikan politik sebagai satu ibadah’ benar-benar kami zahirkan. Di UMNO Labuan kita bantu dan santuni semua masyarakat yang memerlukan bantuan.
“Setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada seketeriat UMNO Labuan di bawah kepimpinan Haji Abu Samah dan AJKN yang terus komited dan prihatin kepada masyarakat terutama sekali ahli keluarga UMNO Labuan yang sedang sakit dan uzur. Kita akan terus gerakkan Sentuhan Kasih UMNO Labuan,” katanya lagi. – UMNO Online