Azalina Titip Pesan Pertahankan Kedaulatan Negara
KUALA LUMPUR, 17 Sept – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menitipkan pesanan kepada para pelajar Malaysia yang berada di luar negara agar sentiasa berbangga menjadi rakyat Malaysia dan terus mengharumkan nama negara di mana sahaja berada.
Azalina yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi kini dalam lawatan kerja ke London dan Paris berhubung kes tuntutan Sulu telah berkesempatan mengadakan sesi dialog ‘Pertahankan Kedaulatan Negara’ bersama Diaspora dan Pelajar Malaysia di London, pada Ahad.
“Dalam sesi tersebut, para hadirin telah diberikan penerangan berhubung status terkini kes tuntutan Sulu dan langkah ke hadapan. Mereka juga berkesempatan bertukar-tukar pandangan secara santai dengan delegasi Malaysia dalam sesi tersebut,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Katanya, seramai hampir 80 orang diaspora yang terdiri daripada pelajar Malaysia dan profesional telah menghadiri sesi tersebut yang turut dihadiri oleh TYT Datuk Zakri Jaafar, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom; barisan peguam bagi kes Sulu, beberapa pakar akademik berkaitan timbang tara antarabangsa, pegawai-pegawai kanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).
Terdahulu dalam hantaran sempena Hari Malaysia, Azalina turut menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama Kerajaan bagi mempertahankan kedaulatan negara.
“16 September merupakan satu tarikh yang amat signifikan buat negara kerana Malaysia dibentuk dengan penyertaan Sabah dan Sarawak pada hari ini dalam tahun 1963. Sejak itu, Malaysia telah dikenali serta diiktiraf dunia sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat.
“Justeru, di kesempatan ini, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama Kerajaan MADANI dalam melindungi dan mempertahankan kedaulatan Malaysia dari ancaman musuh seperti yang kita hadapi ketika ini iaitu tuntutan palsu tidak berasas oleh beberapa individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah.
“Insya-Allah kita semakin hampir untuk penyelesaian tuntas kes ini dan keputusan terkini di The Netherlands yang memihak kepada Malaysia memberi semangat untuk kita selesaikan kes ini di Perancis dan Luxemborg tidak lama lagi,” katanya lagi. – UMNO Online