Selamat Menyambut Hari Malaysia, Jaga Hubungan Baik Perkukuh Perpaduan

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Sempena Hari Malaysia, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat Malaysia berazam untuk terus menjaga hubungan baik antara kaum, memperkukuhkan perpaduan dan menanam semangat patriotik dalam jiwa setiap generasi muda kita.

Katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri, seluruh rakyat harus bersama-sama menghadapi segala cabaran dan memastikan negara kekal aman, makmur dan dihormati di persada dunia.

“Dengan tema ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ pada tahun ini, kita diingatkan bahawa kemerdekaan sejati bukan hanya tentang kebebasan daripada penjajah, tetapi tentang kebebasan untuk hidup bersama dalam suasana yang harmoni, saling menghormati dan bersatu-padu.

“Jiwa Merdeka melambangkan semangat rakyat Malaysia yang sentiasa bebas dalam minda dan hati untuk mengekalkan perpaduan dan kebersamaan, walaupun berbeza pandangan, warna kulit atau pegangan agama,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, hari ini.

Terdahulu beliau mengajak mengenang kembali detik-detik yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

“Pada tarikh bersejarah ini, kita mengenang kembali detik-detik yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

“Sejak 1963, kita telah membina sebuah negara yang berasaskan nilai-nilai toleransi, keharmonian dan kesepakatan.

“Kepelbagaian adalah kekuatan kita dan perpaduan yang terjalin di antara rakyat Malaysia adalah asas kepada kemajuan yang telah kita kecapi hari ini. Selamat Menyambut Hari Malaysia 2024!” – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.