Wanita UMNO Papar Perkasakan Gerak Kerja Hadapi PRN
KUALA LUMPUR, 16 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar menggesa ahli jawatankuasa (AJK) Wanita UMNO bahagiannya agar terus mempertingkatkan serta memperkemaskan lagi gerak kerja Wanita sedia ada.
Katanya, perkara demikian ditekankan sebagai persiapan jentera di bawah kelolaannya bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (Sabah) kelak.
“Melihat kepada data-data yang dilaporkan dalam mesyuarat petang tadi (Ahad), saya yakın AJK, Penyelaras, Ketua PR10 dan PR10 telah bersedia untuk menghadapi PRN yang akan menjelang tidak lama lagi.
“Insya-Allah Wanita UMNO Bahagian Papar akan terus memberikan komitmen dalam memperkasakan gerak kerja wanita , kompeten dan progresif serta akan terus menyantuni rakyat melalui program-program kemasyarakatan sedia ada. Insya-Allah,” katanya.
Perkara demikian dicatit oleh Rosnah dalam satu perkongsian di laman Facebook seusai mempengerusikan mesyuarat bulanan Wanita UMNO Bahagian Papar Bil 6/2024.
Mengulas lanjut, Rosnah menzahirkan terima kasih kepada Penyelaras, KPR10 dan PR10 yang telah memberikan komitmen yang tinggi.
“…agar wanita terus relevan dalam apa keadaan sekalipun serta memastikan tugas-tugas yang diamanahkan dilaksana dengan sehabis baik,” katanya. – UMNO ONLINE