Jeffery Nor Ingatkan Kepimpinan Politik Sabah Jangan Dabik Dada, UMNO/BN Tidak Leka Dan Lalai

KOTA KINABALU, 16 Sept – Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed mengingatkan semua pihak khususnya kepimpinan politik di negeri ini untuk tidak mendabik dada dan memburukkan UMNO/Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya ujar beliau, semua pihak terutamanya parti lawan perlu melihat kepada sejarah dunia politik masing-masing iaitu dari mana bermula lantaran ramai diantara mereka diangkat menjadi wakil rakyat suatu ketika lalu adalah atas nama BN.

Katanya, ramai antara pemimpin-pemimpin dalam Negeri Sabah waima sekarang menjadi pihak lawan adalah berasal daripada BN iaitu dilantik sebagai wakil rakyat dan kemudiannya dikenali adalah atas tiket parti terbabit.

“Ya, UMNO tidak maksum tapi tak ada parti politik yang suci dan sempurna. UMNO/BN juga punya kelemahan justeru janganlah hari ini apabila BN tidak ada kuasa dominan dan menjadi pembangkang di Sabah maka mereka yang dulu mendapat nama dari BN pula mendabik dada,” katanya.

Jeffery yang juga Ketua UMNO bahagian Putatan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan individu tertentu yang mengingatkan anggota partinya agar jangan lalai dan leka sebagaimana BN hingga menyebabkan parti itu kalah dalam PRU ke-14.

Bidas Jeffery, BN/UMNO tewas semasa PRU ke-14 bukannya berpunca dari kelalaian atau pun terlalu lama merintah melainkan dari proganda serta fitnah melampau yang dilakukan oleh parti lawan termasuk perbuatan ‘tikam belakang’ sebilangan anggotanya termasuk di negeri ini.

“Kalau nak buat andaian melulu kepada UMNO/BN, intai dulu ‘kudis’ yang membusuk di badan sendiri. Jangan berlagak suci ibarat tak pernah buat salah macam orang lain. Semuanya sudah terakam dan tertulis dalam sejarah,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama Jeffery yakin UMNO/BN akan bangkit semula pada PRN ke-17 akan datang.

“Ini adalah berdasarkan kepada momentum rakyat yang semakin muak dengan janji manis yang gagal ditunaikan terutamanya dalam penyediaan prasarana pembangunan, sistem perhubungan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan juga isu kemiskinan yang semakin hari membelanggu kehidupan rakyat di negeri ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.