Komitmen Sediakan Kemudahan Asas Jadi Keutamaan Parlimen Kinabatangan – Bung Moktar
KINABATANGAN, 15 Sept – Keluasan kawasan Parlimen Kinabatangan sebagai yang terbesar di Sabah tidak menjadi penghalang kepada kerajaan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan itu demi kesejahteraan rakyat.
Ahli Parlimennya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, rekod pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama ini terbukti apabila kawasan tersebut tidak terpinggir dari menerima limpahan pelbagai projek pembangunan insfrastruktur seperti jalanraya, bekalan elektrik dan air.
Katanya walaupun ada pihak yang mendakwa sejak beliau menjadi Ahli Parlimen Kinabatangan dan Adun Lamag namun gagal membawa projek pembangunan di kawasan tersebut ternyata ia satu fitnah.
Bidasnya, ini adalah dari golongan yang buta sejarah iaitu gagal melihat usaha-usaha yang dilakukan BN dalam membawa pelbagai projek pembangunan ke kawasan tersebut selama ini.
“Tanpa mendabik dada tapi memang banyak projek-projek pembangunan telah disalurkan ke kawasan ini, jalan raya luar bandar, bekalan air dan elektrik termasuk di kampung-kampung terpencil yang sebelum ini belum menerima kemudahan tapi kini turut menikmatinya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Masjid Nusa Jaya Kinabatangan dan Majlis Kenduri Sekampung di Kampung Nusa Jaya Kinabatangan baru-baru ini.
Selain itu Bung berkata, semasa beliau menjadi wakil rakyat dan Ahli Parlimen, projek-projek mega dapat dibawa ke kawasan tersebut antaranya pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Zon Timur bagi pakej 28, 29 dan 30 termasuk yang sedang dalam pelaksanaan.
Begitu juga projek naik taraf Jalan Tongod Keningau sejauh 40 kilometer yang menelan belanja RM320 juta yang kini dalam pembinaan dan dijangka siap selewat-lewatnya tahun depan.
Bung berkata apabila projek ini siap sepenuhnya maka ia akan membawa kepada peningkatan taraf sosio-ekonomi masyarakat Kinabatangan dan sekitarnya.
“Justeru jika ada dakwaan semasa saya menjadi Ahli Parlimen ataupun wakil rakyat dikawasan ini gagal membawa projek pembangunan maka ia merupakan satu fitnah yang sengaja disebarkan bagi menjejaskan reputasi sebagai wakil rakyat,” katanya.
Bung juga mengakui ada projek-projek yang dipohon dan telah diluluskan, namun apabila berlaku pertukaran kerajaan maka pelaksanaan projek tersebut terbengkalai.
“Ada sebahagiannya telah pun diluluskan dan dilaksanakan walaupun ada pihak mengambil ‘kredit’ kononnya projek tersebut mereka yang memohon dan menguruskannya.”
Mengulas berkenaan projek Pembinaan Masjid Kampung Nusa Jaya Kinabatangan, Bung berkata projek tersebut merupakan peruntukan dari kerajaan Pusat bernilai RM200 ribu yang dijangka siap selewat-lewatnya penghujung tahun ini.
Bung berkata, beliau komited dan akan terus berusaha bagi memastikan kawasan ini terus membangun secara terancang dan terurus bersesuaian dengan komuniti.
“Adalah cukup penting kita menjaga hubungan baik dengan kerajaan Pusat yang turut menyediakan peruntukan untuk Sabah dengan tidak mengamalkan politik kebencian seperti sentimen ‘tolak Parti Malaya’.
“Ini kerana kita merupakan satu keluarga besar yang masih mengharap sokongan dari kerajaan pusat terutamanya dalam soal peruntukan untuk membiayai pelbagai projek pembangunan yang masih diharapkan oleh rakyat Sabah khususnya di kawasan itu.”
Bagaimanapun katanya, sebagai wakil rakyat di kawasan itu termasuk Anggota Dewan Sukau yang kini dianggap sebagai pembangkang di peringkat negeri, mereka akan terus menggesa kerajaan negeri agar lebih banyak kemudahan asas terutama dari segi bekalan air, elektrik, jalan berturap.
“Ini di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dipercepatkan pelaksanaanya kerana isu-isu ini turut membebankan kehidupan rakyat di kawasan ini.” – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid