Himpunan 24K Huffaz Bukti Komitmen Kerajaan Martabatkan Al-Quran Dan Huffaz – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 15 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Himpunan 24K Huffaz yang berlangsung dengan jayanya semalam menunjukkan komitmen Kerajaan dalam memartabatkan Al-Quran dan para huffaz sebagai modal insan yang penting bagi negara.
Ujarnya, himpunan ini adalah manifestasi usaha kerajaan untuk memastikan generasi huffaz terus memainkan peranan penting dalam masyarakat sebagai peneraju moral, etika dan kerohanian.
“Alhamdulillah, Himpunan 24K Huffaz yang disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Wilayah Persekutuan telah berlangsung dengan kehadiran seramai 24,000 para huffaz dari seluruh negara.
“Ini merupakan agenda besar kerajaan dalam memartabatkan agenda Islam khususnya Dasar Tahfiz Negara yang dipelopori oleh YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam melahirkan para huffaz profesional yang bukan sahaja menghafaz al-Quran tetapi menguasai juga pelbagai bidang profesional termasuk bidang TVET yang mampu memberikan mereka gaji yang premium,” katanya menerusi hantaran dalam laman facebooknya.
Katanya, program Eksplorasi TVET-Tahfiz turut diperkasakan demi pembangunan huffaz yang seimbang antara ilmu agama dan kemahiran duniawi.
Semalam lebih 24,000 huffaz melantunkan ayat-ayat suci Al-Quran pada Himpunan 24K Huffaz Malaysia yang terdiri daripada pelajar tahfiz, guru tahfiz dan alim ulama dari 1,500 buah madrasah tahfiz al-Quran yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) seluruh negara. – UMNO Online