Abdul Hadi Tidak Ikhlas Jalin Semula Kerjasama Dengan UMNO – Wan Rosdy
KUALA LUMPUR, 15 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak ikhlas serta hanya mementingkan parti mereka sahaja apabila mengeluarkan kenyataan yang bersedia untuk menjalin semula kerja sama dengan UMNO tanpa perlu melibatkan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya Abdul Hadi tidak ikhlas serta hanya mementingkan parti mereka sahaja dan beliau tidak nampak cadangan kerjasama ini dibuat atas dasar kepentingan Melayu dan Islam.
“Jika Abdul Hadi ikhlas kenapa hendak ketepikan Presiden kami. Adakah Abdul Hadi cuba memecahbelahkan UMNO yang semakin hari semakin kukuh.
“UMNO ada ketuanya yang memimpin dan jika Pas berhasrat untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama, seharusnya perlu berbincang dan berunding dengan Presiden kami. Ini kerana UMNO meletakkan institusi Presiden yang mengetuai parti untuk menentukan arah tuju parti.
“Saya melihat Presiden UMNO berpijak tidak berkisar, bercakap tidak beralih, berani menahan uji, setia tahan dicuba dan taat tahan dilipat,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit, hari ini.
Dalam pada itu, UMNO sentiasa terbuka untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak termasuklah Pas.
“Cuma kalau Pas benar-benar hendak kembali untuk bekerjasama, kita boleh berunding tetapi dengan syarat tidak melibatkan Tan Sri Abdul Hadi.
“Pas jangan masa terdesak sahaja hendak mencari UMNO, hakikatnya sewaktu Muafakat Nasional berlangsung, Pas tidak ikhlas pun untuk bersama UMNO.
“Oleh itu, sebagai Naib Presiden UMNO, saya tidak berminat untuk membuat sebarang perundingan yang membelakangkan ketua saya serta melaga-lagakan ahli-ahli UMNO,” katanya lagi.
Dilaporkan, pada sidang media sempena Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-70 lalu, Abdul Hadi mengesahkan usaha untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) yang menyatukan orang Melayu, Islam dan Bumiputera.
Namun katanya, ia dilakukan tanpa pembabitan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – UMNO Online