Bukan Agenda Politik, JPKK Jadi Pemudah Cara Gerakkan Program Bantu Rakyat – Busiau Ampirak

NABAWAN, 14 Sept – UMNO Bahagian Pansiangan mahu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang dilantik di setiap kampung di daerah ini menjadi pemudah cara dalam menggerakkan program-program kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Ketuanya, Busiau Ampirak berkata fungsi utama JPKK adalah membuat perancangan dan pelaksanaan projek atau program pembangunan di peringkat kampung selain menggerakkan penglibatan komuniti setempat.

Selain itu katanya, JPKK juga menjadi wakil dan suara rakyat di peringkat kampung masing-masing dalam menyalurkan sebarang maklumat mengenai isu-isu semasa dan juga isu pembangunan untuk disampaikan kepada pihak berkenaan.

“Selain itu JPKK merupakan perantara diperingkat akar umbi yang akan menyalurkan sebarang permasalahan atau aduan penduduk kepada pihak berkuasa berkaitan sesuatu isu yang timbul,” katanya ketika berucap menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi JPKK kawasan Parlimen Pensiangan yang melibatkan DUN Tulid, Sook dan Nabawan di Dewan Belia Nabawan kelmarin.

Busiau berharap mereka yang dilantik akan memikul amanah dengan penuh tanggungjawab di samping efisyen ketika melaksanakan tugas yang diberikan bagi memastikan kehadiran JPKK dapat dirasakan fungsi serta peranannya oleh komuniti setempat.

“Mandat yang diberikan oleh pemimpin dan kerajaan perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan demi memastikan kesejahteraan penduduk yang diwakili,” tegas Busiau.

Busiau juga turut merakamkan penghargaan khususnya kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menwujudkan JPKK sebagai saluran membantu rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

“Walaupun timbul tentangan hebat dari beberapa pihak di negeri ini tentang kewujudan JPKK ini, yang kononnya akan boleh memecah belahkan perpaduan namun tanggapan mereka lebih kepada kepentingan politik sedangkan hasrat kerajaan pusat menwujudkan jawatan ini adalah bagi membantu melonjakan pembangunan demi kesejehteraan rakyat khususnya di luar bandar,” katanya.

Busiau menambah kewujudan JPKK di negeri ini juga adalah bagi memastikan tiada kawasan yang akan dipinggirkan dalam arus pembangunan negara dengan kemampanan ekonomi dan kesejaehteraan rakyat terjamin.

Hadir sama pada majlis tersebut Pegawai Kemas Daerah Nabawan Marica@ Maria Asin. – UMNO-Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.