Martabat Wanita Perlu Dihormati Bukannya Dagangan Politik – Dr Masliha

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Exco Wanita UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun membidas kenyataan Setiausaha Dewan Pemuda Pas Selangor, Aubidullah Fahim Ibrahim pada Muktamar Dewan Pemuda Pas yang meremehkan kaum wanita dengan menjadikan kaum tersebut sebagai dagangan politik.

Tegasnya, tindakan sedemikian tidak wajar dan mempersoalkan sikap yang memperlakukan wanita sebagai objek untuk meraih undi politik.

“Jangan menjadikan wanita ini sebagai barang dagangan politik, alat meraih undi dan merendahkan martabat kaum wanita.

“Sungguhpun anda benar-benar ketandusan idea bernas dalam membangunkan agama,bangsa dan negara, janganlah serlahkan sangat ketidakcerdikan anda itu,” katanya.

Dr Masliha yang juga Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional, Wanita UMNO Malaysia menegaskan politik Malaysia telah membuktikan bahawa wanita bukan halangan dalam politik malah kaum ini berjaya dalam karier masing-masing.

“Kita harus ada kearifan pandangan dan analisis dengan menerima kesaksamaan gender, yang turut meliputi sokongan kerjasama yang saling melengkapi dan bukan dalam lensa persaingan.

“Sebaliknya pemerkasaan wanita sebagai suatu persaingan, sebagai dua garis selari yang tiada penghujungnya,” katanya.

Tambah Dr Masliha lagi sekiranya masih bersikap stereotaip terhadap gologan wanita maka akan terjadi pembunuhan karakter dan ia perlu dihentikan dengan segera.

Seterusnya, kata Dr Masliha lagi, tindakan mempergunakan perkahwinan sebagai alat strategi politik adalah sesuatu yang tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila melibatkan wanita.

“Wanita bukanlah alat dagangan politik yang boleh digunakan bagi mencapai matlamat tertentu dan cadangan seperti ini secara tidak langsung merendahkan martabat serta nilai diri wanita.

“Sebagai sebuah agama yang sempurna, Islam menekankan konsep keadilan, penghormatan, dan kemuliaan kepada setiap individu, terutamanya wanita.

“Islam seharusnya dijadikan reflektif sebagai agama yang membangunkan martabat wanita, bukannya mempergunakan mereka sebagai alat politik. Martabat wanita perlu dihormati dan dipertahankan, dan kenyataan seperti ini hanya akan mencemarkan imej serta nilai-nilai yang diperjuangkan oleh Islam,” katanya lagi.

Oleh itu, katanya lagi, semua parti politik agar menggunakan kuasa yang ada untuk memperkukuhkan agama dengan cara yang lebih berhemah dan berlandaskan prinsip-prinsip Islam yang sebenar.

“Agama tidak seharusnya dijadikan sebagai alat untuk mencapai kepentingan politik semata-mata, tetapi sebaliknya digunakan untuk menyebarkan kebenaran, keadilan, dan keharmonian dalam masyarakat,” jelas beliau – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.