Jelajah Penerangan UMNO Teruskan Misi Ke Bahagian Rompin

ROMPIN, 8 Sept – Jelajah Penerangan UMNO Malaysia meneruskan misi memberi penjelasan isu-isu semasa kepada ahli akar umbi UMNO Bahagian Rompin hari ini.

Bertempat di Dewan Besar Bandar Tun Razak, Keratong di sini, siri jelajah ini yang diperkenalkan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said menampilkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam selaku Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia sebagai penceramah utama.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Rompin Datuk Seri Hasan Arifin; Timbalan Ketua UMNO bahagian Datuk Ir Razali Kassim yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah; dan Ketua Wanita UMNO bahagian Datin Shamsiah Arshad.

UMNO Bahagian Rompin merupakan bahagian pertama siri jelajah diadakan selepas ia ditangguhkan seketika bagi memberi laluan kepada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 pada hujung Ogos lalu.

Sebelum PAU 2024, Jelajah Penerangan UMNO telah diadakan di negeri Sabah iaitu di Bahagian Kalabakan, Beaufort dan Kimanis.

Jelajah Penerangan UMNO bertujuan untuk memantapkan lagi komunikasi dan penerangan kepada ahli, akar umbi mahupun para pengundi.

Pelbagai pengisian dan sesi penerangan disediakan oleh pihak Penerangan UMNO Malaysia dalam usaha membantu ahli dan kepimpinan akar umbi berdepan senario politik yang dinamik hari ini.

Ia juga sebagai persediaan dan persiapan jentera parti khususnya Penerangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.