PRK DUN Mahkota: Wanita UMNO Yakin Tiada Sabotaj

GEORGE TOWN, 8 Sept – Wanita UMNO yakin parti-parti di bawah Pakatan Harapan (PH) tidak akan sabotaj kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, persetujuan yang dicapai sebelum ini untuk meletakkan calon UMNO sudah disepakat dengan baik sekali gus menepis dakwaan DUN Mahkota akan dicemari unsur sabotaj sekiranya parti tertentu tidak dinamakan sebagai calon.

Menurutnya, sabotaj antara satu sama lain terutama dari gabungan parti sama hanya merugikan parti tersebut berikutan undi akan berpihak kepada pihak lawan.

“Kalau kita sabotaj siapa yang rugi? Kita sendiri yang rugi. Jadi saya tak nampak unsur-unsur sabotaj dalaman mahupun luaran di DUN Mahkota.

“Ini kerana kita sudah bersetuju Barisan Nasional (BN) diketengahkan sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan,” katanya di sini selepas majlis pelancaran Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN bersama Hawa Pulau Pinang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin pada Sabtu.

Norliza berkata, beliau percaya setiap parti gabungan bawah Kerajaan Perpaduan akan memberi sokongan sepenuhnya bagi memastikan DUN Mahkota kekal milik BN.

“Ahli Parlimen Bayan Baru dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga telah nyatakan komitmen turun berkempen di Mahkota bermula Isnin depan sehingga selepas hari penamaan calon bagi menyantuni kaum Cina di DUN berkenaan.

“Jadi saya yakin kesepakatan yang ada bawah Kerajaan Perpaduan akan kekal kukuh, tanpa adanya sabotaj oleh mana-mana pihak. Kerjasama kami begitu baik sekali,” ujarnya.

Menurutnya lagi, keadaan politik Malaysia sekarang juga telah menjadikan rakyat mula memahami bahawa pada masa kini sukar untuk mencari sebuah parti yang dominan.

Sebelum ini, Parti Amanah Negara (Amanah) Kluang, diketuai Dr Mohd Zuhan Mohd Zain mendesak pucuk pimpinan PH dan BN memilih calon parti itu bertanding dalam PRK DUN Mahkota.

Kepimpinan tertinggi Amanah Johor akhirnya akur dengan keputusan pimpinan tertinggi PH tidak akan meletakkan calon dan memberi laluan kepada BN bertanding di DUN berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September, penamaan calon pada 14 September dan pengundian awal pada 24 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Norliza tegaskan, jentera Wanita UMNO telah mula ‘bekerja’ di DUN Mahkota selepas pemergian penyandangnya dengan menyusuri kampung-kampung mendekati pengundi.

“Calon terbaik diketengahkan parti dan akan menjadi wakil kepada masyarakat di DUN Mahkota untuk memperjuangkan keperluan penduduk setempat.

“Jika sekalipun bukan calon Wanita UMNO diketengahkan, sebagai ahli parti atau pemimpin kita harus bekerja tanpa mengira siapa saja dicalonkan,” katanya. – Sinar

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.