Naikkan Had Umur Puteri UMNO Berikan Pengalaman, Kestabilan Dalam Memimpin – Atiqah

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan menyifatkan hasrat mereka untuk dinaikkan had umur keanggotaan dalam sayap itu relevan untuk memberikan pengalaman, kestabilan dalam memimpin.

Ketuanya, Nur Atiqah Najihah Hairudi berkata kematangan dalam berpolitik juga elemen penting bagi memastikan pemimpin muda di peringkat akar umbi memahami gerak kerja sayap itu sekaligus membuktikan Puteri kekal relevan bagi mendekati wanita muda.

“Ia berupaya memberikan kestabilan kepada wanita muda bergelar isteri dan ibu yang berkeluarga, bekerjaya yang ingin berpolitik.

“Melalui ini juga ia membolehkan Puteri melalui proses pembelajaran dan proses kematangan dalam berpolitik.

“Kerana kami berpandangan ⁠keseimbangan umur Puteri dan Pemuda memudahkan gerak kerja Pilihan Raya Umum (PRU).

“Bukan untuk dilihat lebih hebat dari sayap yang lain sekurang-kurangnya boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi jika usul ini diterima, “ katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Segambut berkata tren pengundian anak muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri menyaksikan ia pada tahap terbaik sehinggakan UMNO/Barisan Nasional (BN) berupaya merampas kembali kerusi tersebut daripada pembangkang.

Jelas Nur Atiqah ia memperlihatkan kesungguhan jitu dipamerkan oleh sayap parti dalam memanfaatkan jentera sedia ada dalam mendekati seramai mungkin anak muda secara bersemuka dan media sosial yang memfokuskan kelompok wanita muda di bawah umur 40 tahun.

“Kemenangan BN di hampir setiap saluran anak muda dalam PRK DUN Nenggiri jelas membuktikan bahawa sokongan generasi muda kembali berpihak kepada kita.

“Tidak dapat dinafikan, penglibatan jentera Puteri yang turut berkampung di Nenggiri dan diberi tanggungjawab untuk menjaga pengundi muda di bawah usia 40 tahun turut memainkan peranan penting dalam kemenangan ini,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, Puteri UMNO komited dan memahami dalam melaksanakan gerak kerja serta portfolio yang ditugaskan di samping memahami dan menyelami keperluan golongan muda, khususnya wanita muda.

“Seiring dengan usul untuk menaikkan had umur Puteri kepada 40 tahun yang dibawa oleh Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, langkah ini dilihat sebagai satu pemberdayaan wanita dalam parti.

“Usul ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada wanita muda untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam kepimpinan,” ujar beliau.

Perhimpunan Agung Puteri UMNO (PAU) 2024 lalu menyaksikan usul menaikkan had umur keahlian Puteri sehingga 40 tahun menjadi antara perkara utama dibahaskan perwakilan Puteri UMNO.

Perkara tersebut mendapat perhatian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata perkara itu ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi untuk diteliti dan diputuskan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.