Puteri UMNO Angkat Pemerkasaan Tiga Teras Utama Kembalikan Sokongan
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Puteri UMNO mengangkat pemerkasaan tiga teras utama iaitu Teras Agama, Teras Pendidikan, dan Teras Ekonomi (3T) yang menjadi akar kepada perjuangan parti bagi mengembalikan sokongan, dan dukungan orang Melayu dan bumiputera kepada UMNO.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata UMNO perlu menjuarai dan memperkukuh 3T ini sebagai teras perjuangan.
“3T ini teras kita, inilah perjuangan kita, inilah bekalan kita kepada anak muda dan inilah naratif kita kepada pendukung dan penyokong kita. Inilah UMNO yang menjadi bayangkara atau penjaga hak-hak orang Melayu dan Islam.
Berkaitan Terasa Agama, Nurul Amal mengucapkan tahniah kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas penubuhan Majlis Ulama UMNO.
“Puteri UMNO melihat Majlis Ulama ini sebagai satu badan penting dan bukan berfungsi untuk isu-isu tertentu sahaja. Sudah tiba masanya, Majlis Ulama UMNO berperanan sebagai badan yang terkehadapan dalam isu-isu yang berkaitan dengan umat Islam di Malaysia.
“Penubuhan Kemas Tahfiz yang digagaskan oleh ayahanda Presiden merupakan satu usaha yang baik untuk memastikan generasi akan datang mampu mengimbangi antara duniawi dan ukhrawi. Inilah teras perjuangan UMNO.”
Berkaitan Teras Pendidikan, katanya ia adalah berkaitan dengan perkasa pendidikan yang bermakna perkasa generasi.
“UMNO sentiasa berdedikasi dalam memastikan hak pendidikan orang Melayu dan bumiputera terus terjaga. Kita sedar akan kepentingan pendidikan dalam membangunkan bangsa yang berjaya.
“Jadi, Puteri UMNO sepakat dengan pendirian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, agar Dasar Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk pelajar Melayu, Orang Asli dan anak Sabah serta Sarawak seperti yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, dikekalkan oleh kerajaan.
“Puteri UMNO juga memohon agar memperkemas segmen pendidikan kepada orang Melayu dan bumiputera melalui MARA dan agensi di bawahnya seperti Giat Mara, UNIKL, KPTM dan UPTM, serta diberikan ruang untuk menjadi penghubung antara insititusi pendidikan bumiputera dan anak muda, melalui kerjasama program dan seumpamanya.”
Katanya, beliau percaya bahawa pendidikan mampu mengubah kehidupan, dan menjadi pemangkin untuk keluar daripada kepompong kejahilan dan kemiskinan, serta memerdekakan jiwa dan minda.
“Kita perlu terus beriltizam mempertahankan teras ini, demi anak bangsa dan nusa tercinta.”
Katanya, berkaitan Teras Ekonomi pula, Puteri UMNO menyokong penuh Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) yang baharu sahaja dilancarkan pada Isnin lalu.
“Ini adalah teras perjuangan kita. Libatkan sebanyak mungkin penyertaan, pemilikan dan penguasaan usahawan bumiputera, khususnya golongan wanita muda dan belia.”
Beliau menggesa agar dipastikan hak dan kelebihan bumiputera dalam kek ekonomi tidak diketepikan.
“Kita menerima Dasar Penjimatan Negara, namun, jangan kerana langkah penjimatan yang dilaksanakan, kek ekonomi bumiputera ini dikecilkan, malah dipinggirkan dek kerana teknologi dan AI.
“Kerajaan perlu melihat semula dasar-dasar baru, dan pekeliling yang dikeluarkan. Jangan sesekali meminggirkan hak ekonomi bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan. Hal ini penting bagi memastikan sosio-ekonomi bumiputera dapat berkembang dengan baik,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO pergerakan terbabit yang diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. – UMNO Online