PAU 2024: Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

“RENAISANS”

BismillahirRahmanirRahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Perjuangan.

SALUTASI:

Yang Berbahagia Dato’ Saripah Aminah Syed Mohamad,
Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia;

Yang Berhormat Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,
Naib Presiden UMNO Malaysia;

Yang Berbahagia Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki,
Setiausaha Agung UMNO Malaysia;

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Azizah Johor,
Timbalan Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia;

Yang Berbahagia Datuk Norliza binti Abdul Rahim,
Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia;

Yang Berbahagia Datuk Rosni Sohar,
Setiausaha Wanita UMNO Malaysia;

Yang Berbahagia Datin Maizatul Akmam Alawi,
Bendahari Wanita UMNO Malaysia;

Yang Berbahagia Datuk Rosni Zahari,
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia;

Exco-Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia,

Wakil-Wakil Ahli Majlis Kerja Tertinggi ke Perhimpunan Agung Wanita UMNO,

Yang Berbahagia Dato’ Lokman Noor Adam Yang Berbahagia Datuk Seri Hj. Ahmad Said
Yang Berbahagia Datuk Mohd Rafi Datuk Ali Hassan

Para perwakilan yang saya kasihi sekalian,

PENDAHULUAN

Sidang perwakilan yang saya kasihi sekalian,

1. Sebelum saya meneruskan bicara, saya ingin mengajak sidang perwakilan untuk sama-sama menzahirkan rasa kehilangan, kepada sahabat-sahabat yang telah pergi mendahului kita.

2. Marilah kita bersama-sama mensedekahkan Al-Fatihah kepada mereka. Al-Fatihah.

3. Pemergian mereka merupakan satu kehilangan yang besar di dalam perjuangan ini. Sepanjang perjuangan ini terlalu banyak cerita sedih dan duka yang kita lalui.

4. Kita sudah rasai kehilangan. Kita sudah diduga dengan pelbagai ujian.

5. Namun, Alhamdulillah, pada sabtu lalu, kita dianugerahkan dengan satu berita gembira. Sesuatu yang diluar jangka. Kita berjaya merampas Nenggiri dengan satu keputusan yang luar biasa.

6. Tahniah kepada YAB Presiden, tahniah kepada barisan kepimpinan, dan paling penting sekali, tahniah kepada seluruh jentera Wanita UMNO Malaysia!

7. Dalam siri PRK yang kita lalui sejak pasca PRU15, inilah kali pertama kerusi beralih tangan. Lebih manis lagi, kita ambil kembali kerusi ini di bumi Kelantan.

8. Ucapan tahniah ini juga harus kita berikan kepada Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, yang telah bertungkus lumus, menggerakkan seluruh jentera, bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional pada kali ini.

10. Gerak kerja di Nenggiri ini telah kita buat berbulan awal, bukan sehari dua. Wanita sendiri telah buat kerja sebelum kita tahu siapa calonnya.

11. Dan bila calon diumum, semua menerima dengan hati yang terbuka. Tiada lagi kita dengar cerita-cerita merajuk, cerita-cerita sabotaj, cerita-cerita cah keting.

12. Baik jentera tempatan mahupun jentera luar yang datang dari seluruh negara, semua mempunyai niat yang sama, iaitu memburu kemenangan.

13. Sekali lagi, terima kasih yang tidak terhingga daripada kami, Wanita UMNO Malaysia kepada YAB Presiden dan seluruh jentera.

14. Dan tidak lupa, terima kasih yang tidak terhingga buat semua jentera wanita yang telah bertungkus lumus demi memastikan kemenangan ini. Tahniah dan syabas.

Para perwakilan yang saya hormati sekalian,

15. Kejayaan yang kita perolehi ini bukan mudah. Kejayaan ini diraih hasil daripada peluh dan lelah.

16. Banyak yang kita boleh pelajari daripada kemenangan ini. Berkaitan dengan strategi kita, pendekatan kita, dan juga semangat kita.

17. Ya, kita gembira dengan kemenangan di Nenggiri. Namun saya ingin mengingatkan kepada semua, jangan kita lalai dan leka. Jangan kita lupa diri dan berasa selesa.

18. Jangan ada suara-suara yang merasakan kita sudah kuat. Jangan ada yang merasakan kita mampu mengubah sokongan sekelip mata.

19. Jangan sesekali kita lupa sejarah. Kita menang bergaya di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Tetapi dalam PRU14, kita kehilangan Putrajaya.

20. Justeru itu, saya mohon kepada seluruh jentera dan perwakilan, teruslah istiqomah dalam perjuangan.

21. Dan saya mahu semangat yang sama, kekuatan yang sama, kita bawa ke PRK Mahkota yang akan diadakan tidak lama lagi. Pastikan kerusi Mahkota ini kekal milik kita.

KERANCUAN POLITIK

Sidang perwakilan yang saya kasihi sekalian,

22. Alhamdulillah, pada hari yang penuh bermakna ini, kita bersyukur kerana diberi keizinan olehNya, untuk menghadirkan diri dalam perhimpunan yang cukup besar pengertiannya kepada kita semua.

23. Kita berhimpun di sini, dengan satu tujuan utama, untuk kita sama-sama merungkai kerancuan politik yang sedang kita hadapi dan mencari solusi.

24. Dalam perhimpunan yang lalu, kita telah berbahas panjang mengenai kerancuan atau ketidaktentuan politik pasca PRU15. Kita sedar, senario politik telah berubah dan bagaimana kita harus meladeni politik baharu ini.

25. Namun, hakikatnya, sehingga kini kerancuan itu masih ada. Kerancuan yang membawa kepada perbalahan politik secara terbuka. Kerancuan yang mencemarkan wajah demokrasi kita. Kerancuan yang menyebabkan pelabur lari meninggalkan negara.

26. Dan yang paling ditakuti adalah, kerancuan ini telah menyebabkan UMNO bukan sahaja kehilangan kepercayaan daripada rakyat, tetapi juga sebahagian ahli parti sendiri.

27. Ya, defisit kepercayaan ini bukanlah suatu perkara baharu. Kita telah hadapi sejak PRU14 lagi. Ketika mana, buat pertama kali dalam sejarah, UMNO dan Barisan Nasional gagal mempertahankan tampuk kepimpinan di Putrajaya.

28. Sepanjang tempoh ini, krisis kepercayaan rakyat terhadap parti ini tidak pernah pulih. Dalam PRU13, kita memperolehi 122 kerusi. Angka ini menurun kepada 79 kerusi di dalam PRU14 dan menurun lagi di dalam PRU15. Kini, kita cuma memiliki 30 kerusi sahaja.

29. Justeru itu, perhimpunan hari ini perlu dijadikan sebagai titik mula, dalam usaha kita menoktahkan krisis keyakinan rakyat ini.

30. Kita perlu buat satu pembaharuan di persada politik negara, untuk mencipta sebuah kisah klasik untuk masa depan. Kisah sebuah parti yang kembali bangkit membina semula kekuatan.

RENAISANS WANITA UMNO

Sidang perwakilan yang saya kasihi sekalian,

31. Sejak dahulu lagi, wanita telah memainkan peranan yang sangat penting dalam perjuangan UMNO. Kita dikenali sebagai tunjang parti. Daripada 3.5 juta ahli UMNO, 1.5 juta adalah wanita.

32. Kita perlu menyedari dan memanfaatkan sepenuhnya potensi kepimpinan wanita dalam parti mahupun negara. Kekuatan ini mesti kita gunakan untuk memperkasakan parti di persada politik Malaysia.

33. Dalam lanskap politik yang semakin kompleks dan mencabar ini, kita memerlukan perspektif baru dan kepelbagaian suara dalam membuat keputusan.

34. Wanita mempunyai sudut pandang yang unik, dengan pendekatan penyelesaian masalah yang inovatif, dan berupaya untuk menjadi penghubung kepada pelbagai lapisan masyarakat.

35. Hari ini, kita berdiri di ambang satu transformasi besar yang akan mengubah bukan sahaja wajah parti kita, tetapi juga landskap politik dan sosial negara.

36. Seiring dengan ini, Wanita UMNO perlu bersedia memulakan sebuah era baharu.

37. Renaisans, atau kebangkitan semula, bukan sekadar perubahan kosmetik. Ia adalah kebangkitan semula jiwa, pembaharuan minda, dan pencerahan visi.

38. Kita memulakan kebangkitan semula Wanita UMNO ini sebagai satu gerakan yang akan menggembleng tenaga, bakat,

dan potensi wanita untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

39. Kebangkitan semula wanita dalam UMNO bukan hanya berkisar mengenai memenuhi kuota atau tuntutan luaran. Ia adalah tentang mengoptimumkan bakat terbaik yang ada dalam parti, untuk menghadapi cabaran masa depan.

40. Ia adalah tentang memastikan bahawa suara wanita, yang mewakili hampir separuh daripada pengundi kita, didengari dan dihormati.

41. Kita perlu melakukan lebih daripada sekadar menggalakkan penyertaan wanita. Kita perlu secara aktif memberi peluang kepimpinan kepada wanita berbakat di semua peringkat parti. Kita perlu melabur dalam program pembangunan kepimpinan yang khusus untuk wanita.

42. Dan yang paling penting, kita perlu mengubah budaya parti kita untuk menjadi lebih inklusif dan menghargai sumbangan wanita.

43. Kebangkitan semula ini bukan sahaja akan memperkukuhkan UMNO, tetapi juga akan memperkasakan politik Malaysia secara keseluruhan. Ia akan membawa perspektif baru kepada isu-isu penting seperti pendidikan, pembangunan ekonomi dan penjagaan kesihatan.

44. Mari kita jadikan ini sebagai titik perubahan. Mari kita membina UMNO yang lebih kuat, lebih inklusif, dan lebih bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran.

45. Saya percaya, dengan kekuatan yang ada pada Wanita UMNO Malaysia, kita mampu bersama-sama merealisasikan visi ini, dalam usaha memberi nafas baharu dalam perjuangan ini.

REVOLUSI KEPIMPINAN

Sidang perwakilan yang saya kasihi sekalian,

46. Hari ini, saya berdiri di sini bukan sekadar sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia, tetapi sebagai pencetus impian. Impian untuk melihat wanita UMNO bangkit menjadi kuasa politik yang tidak dapat dinafikan!

47. Tiada siapa boleh menafikan peranan dan penglibatan Wanita UMNO Malaysia di dalam arena politik, baik di dalam parti mahupun negara.

48. Kita aktif dalam kempen dan menggerakkan pengundi. Kita dikenali dengan kerja-kerja kemasyarakatan dan kebajikan diperingkat akar umbi. Ramai pemimpin wanita yang berpengaruh di Malaysia berasal dari tunjang parti ini.

49. Namun, sudah tiba masanya Wanita UMNO Malaysia melakukan transformasi.

50. Kita mulakan dengan kepimpinan. Sudah tiba masanya, sebuah inisiatif pengkaderan dibangunkan. Yang akan mengubah sudut pandang kepimpinan wanita.

51. Sebuah inisiatif yang mana bakat-bakat wanita kita diasah sebaik-baiknya. Sebuah inisiatif yang akan melahirkan generasi pemimpin wanita yang menggemparkan dunia!

52. Maka, inisiatif ini sangat penting. Inisiatif ini bukan tentang membina bangunan atau kursus. Inisiatif ini adalah untuk menghasilkan pemimpin-pemimpin wanita berkaliber. Ia adalah medan di mana impian menjadi realiti, di mana potensi menjadi kuasa.

53. Inisiatif ini akan kita namakan sebagai Sekretariat Lead- hership Ibu Zain. Kita ambil inspirasi daripada tokoh pejuang pendidikan bangsa.

54. Inilah masanya untuk kita membina legasi.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

55. Kebangkitan semula wanita ini tidak akan lengkap tanpa penglibatan generasi muda. Generasi yang akan mengemudi negara disuatu masa.

56. Salah satu elemen penting yang akan kita perkenalkan adalah Program ‘One-nita Mentoring’. Melalui program ini, kita akan mewujudkan jambatan antara generasi, menghubungkan pemimpin berpengalaman dengan bakat-bakat muda yang berpotensi.

57. Selain daripada itu, kita juga akan menganjurkan ‘Women’s Summit’ yang akan diadakan secara berkala. Sidang kemuncak ini akan menghimpunkan pemimpin dan profesional wanita dalam dan luar negara.

58. Sidang kemuncak ini akan menjadi platform untuk mereka berkongsi idea, membina rangkaian, dan membentuk visi bersama demi masa depan negara.

59. Dalam tempoh lima tahun, kita mahu melihat 30% daripada kepimpinan Wanita UMNO di setiap peringkat terdiri daripada wanita profesional.

60. Mereka ini terdiri daripada usahawan-usahawan berjaya, tokoh-tokoh korporat, ahli akademik dan pelbagai lagi. Ini akan memastikan, aliran idea baharu yang berterusan dan kesinambungan kepimpinan yang kukuh.

KETERLIBATAN DAN KESUKARELAWAN

Sidang perwakilan yang saya kasihi sekalian,

61. Realitinya Malaysia ini mempunyai ramai wanita yang hebat dan luar biasa. Usahawan Wanita yang menggemparkan dunia perniagaan, aktivis Wanita yang menggerakkan perubahan sosial, pemimpin NGO yang memperjuangkan keadilan, pakar- pakar yang cemerlang dalam pelbagai bidang, dan cendekiawan Wanita yang meneroka sempadan baharu ilmu dan mendefinisikan wacana negara.

62. Namun, stigma Wanita UMNO yang dilihat sekadar ‘pergerakan politik’ telah menghalang kita daripada memanfaatkan kolam bakat yang luar biasa ini.

63. Ini akan berubah, dan perubahan itu bermula hari ini.

64. Pertama, Wanita UMNO akan direkayasa menjadi hab inovasi bagi usahawan-usahawan wanita berkongsi dan mengembangkan idea. Kita telah mulakan langkah pertama semalam, dengan pelancaran Serambi Wanita oleh YAB Presiden.

65. Kedua, Wanita UMNO akan menjadi platform yang mana aktivis sosial dan pemimpin NGO berkolaborasi untuk membincangkan isu-isu rakyat.

66. Ketiga, Wanita UMNO akan diposisikan sebagai gedung pemikir, yang menghimpunkan pakar-pakar Wanita, yang mementaskan perbincangan intelektual, dan mencadangkan dasar-dasar, yang mendefinisikan masa depan Malaysia.

67. Sudah tiba masanya kita melibatkan wanita-wanita hebat ini bersama-sama kita. Kita boleh berbincang, merangka program dan kita boleh bertukar-tukar fikiran

68. Dalam arena ekonomi, Wanita perlu memanfaatkan sepenuhnya kedudukan Malaysia yang menjuarai industri halal. Puan-puan, industri halal global kini bernilai US$2.3 trilion dan dijangka mencecah US$3.3 trilion menjelang 2025. Nilai eksport produk halal Malaysia sudah mencecah RM54 bilion pada tahun lepas.

69. Bayangkan apa yang boleh kita capai jika kita menggembleng tenaga wanita UMNO sepenuhnya dalam sektor ini!

70. Justeru, ‘Hub Usahawan One-nita’ yang kita ikhtiarkan akan melibatkan usahawan Wanita secara terus dalam industri halal. Kita hubungkan usahawan-usahawan dengan bantuan- bantuan, geran, latihan dan sebagainya yang disediakan oleh pelbagai agensi seperti MARA, FELCRA, RISDA dan sebagainya

71. Wanita UMNO juga akan lebih fokus dalam usaha menangani isu keseimbangan kerjaya dan keluarga secara langsung. Terlalu ramai wanita berpotensi hebat yang terpaksa meninggalkan kerjaya mereka kerana tekanan menguruskan keluarga. Ini adalah kerugian besar kepada negara.

72. Wanita UMNO akan menjadi peneraju dalam mencari penyelesaian untuk masalah ini. Kita akan menjadi suara yang lantang dalam menuntut dasar-dasar mesra keluarga di tempat kerja dan waktu kerja yang anjal. Kita akan menjadi pemangkin dalam mewujudkan ekosistem sokongan untuk ibu-ibu bekerja.

73. Ikhtiar dan program-program ini bukan sahaja menjadikan Wanita UMNO lebih ‘menarik’ dalam erti kata fizikal, tetapi juga dalam konteks daya tarikan intelektual, kerelevanan sosial, dan keupayaan membawa perubahan.

74. Sumbangan wanita UMNO dalam aktiviti kesukarelawan dan kebajikan tidak boleh dinafikan. Sejak dari awal penubuhan parti, golongan wanita kita telah menjadi tulang belakang dalam pelbagai inisiatif bantuan sehingga tertubuhnya Skuad Sayang.

75. Siapa tidak kenal Skuad Sayang? Dedikasi skuad sayang ini telah membentuk asas kukuh semangat kesukarelawan yang kita saksikan pada hari ini.

76. Kesukarelawan ini bukan sekadar aktiviti sampingan, tetapi merupakan manifestasi jati diri UMNO sebagai parti yang sentiasa dekat di hati rakyat. Melalui bakti sosial, program kemasyarakatan, dan misi bantuan bencana, wanita UMNO telah membuktikan bahawa parti kita bukan sahaja prihatin, tetapi juga berupaya bertindak demi kesejahteraan masyarakat.

77. Selari dengan peredaran masa, gerak kerja juga perlu berubah. Kita perlu lakukan penambahbaikan kesukarelawan. Kita bawa semangat ini dalam skop yang lebih luas.

78. Selain daripada fokus kebajikan, sudah tibanya masanya kita memberi tumpuan kepada pemberdayaan ekonomi, peningkatan pendidikan dan kesejahteraan kesihatan. Kita buka peluang dan lembaran baharu.

79. Kita juga perlu menjalinkan kerjasama erat dengan persatuan wanita merentasi masyarakat. Khidmat ini bukan sekadar dalam Negara, dengan adanya kerjasama seperti ini, kita dapat memperluas jangkauan sehingga ke peringkat antarabangsa.

80. Sudah tiba masanya Skuad Sayang bekerjasama dengan Sekretariat Wanita Profesional untuk turut serta dalam misi kemanusiaan antarabangsa. Pendedahan sebegini adalah sangat bernilai kepada Wanita.

81. Ini akan membuktikan bahawa UMNO bukan sahaja mampu bergerak sendiri, tetapi juga bijak menjalin kerjasama strategik demi manfaat yang lebih besar.

TEKNOLOGI DAN PENDIGITALAN

Sidang perwakilan yang saya kasihi sekalian,

82. Dunia sedang bergerak laju. Justeru, kita kena sedar, gerak kerja dan pendekatan politik perlu seiring dengan peredaran masa.

83. Kalau generasi kita dahulu, kita bergerak dari ke rumah, membawa buku biru. Kalau ada senarai pengundi pun, ia hanya berupa salinan fotostat, sampai hitam tangan mengusung ke sana, ke sini.

84. Sekarang ini lebih mudah. Kita ada sistem dan aplikasi yang boleh diakses dihujung jari. Sekarang kita buat e-poster, e-flyers, bukan setakat sampai Nenggiri, tetapi sampai dekat luar negeri.

85. Namun, anak-anak muda genZ hari ini sudah mula bercakap pasal AI dan ChatGPT. Wanita tidak boleh ketinggalan mendepani revolusi ini.

86. Justeru, kita perlukan pembaharuan. Kita perlu lakukan penambahbaikan pendigitalan. Kita perlu lebih terkehadapan.

87. Saya ucapkan tahniah kepada Ketua Penerangan Wanita yang telah menubuhkan sekretariat Penerangan, Media dan Digital (PMD).

88. Saya mengharapkan sekretariat ini dapat menyedia satu kerangka dan modul baharu dalam usaha kita untuk menguasai media digital agar menjadi lebih visible, relevant dan prominent.

89. Dengan adanya kerangka baharu ini nanti, ia bukan sahaja akan membantu menambah baik cara kita berkempen dan

menyampaikan penerangan, malah, ia merangkumi segala aspek yang diperlukan meliputi data, maklumat dan analisa.


KESEIMBANGAN EKONOMI

Sidang perwakilan yang saya kasihi sekalian,

90. Dengan rangkaian keahlian yang mencecah 1.5 Juta, dari segenap bandar dan desa, kami, Wanita UMNO, menjadi mata dan telinga parti di akar umbi. Kami merasai setiap denyut nadi rakyat, kami mendengar setiap keluhan dan kekecewaan, kami menyaksikan secara langsung realiti kehidupan rakyat biasa.

91. Dan hari ini, izinkan saya menyampaikan apa yang kami lihat dan dengar, kerana isu-isu ini bukan sekadar statistik atau laporan, tetapi pengalaman sebenar yang kita hadapi setiap hari.

92. Kita sedang menyaksikan satu pertembungan idea yang akan menentukan masa depan ekonomi Malaysia – pertembungan antara ekonomi modal dan ekonomi rakyat.

93. Di satu sudut, kita lihat pencakar langit yang menjulang tinggi, lebuh raya bertingkat yang membelah kota, pusat membeli-belah mewah yang berselerak di merata tempat. Inilah wajah ekonomi modal yang sering kali dilihat sebagai pemacu utama kemajuan negara.

94. Tetapi, apa yang kami saksikan di peringkat akar umbi jauh berbeza. Kami melihat ibu tunggal yang terpaksa memilih antara membeli buku untuk anaknya atau membayar bil elektrik. Kami bertemu dengan graduan muda yang terpaksa menjual nasi lemak kerana tidak mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan mereka. Kami mendengar keluhan peniaga kecil yang tersepit di celah-celah pusat membeli-belah mewah, berjuang setiap hari untuk mengekalkan perniagaan mereka.

95. Inilah realiti ekonomi rakyat yang tidak boleh kita abaikan. Perusahaan kecil dan sederhana, pertanian skala kecil, ekonomi informal – inilah nadi yang menggerakkan sebahagian besar kehidupan rakyat Malaysia, terutamanya di kawasan luar bandar.

96. Kami, Wanita UMNO, menyambut baik usaha kerajaan melalui inisiatif seperti Bantuan Tunai Rahmah. Namun, berdasarkan pengalaman kami di lapangan, ini hanyalah setitis air di padang pasir kemiskinan yang semakin meluas.

97. Wanita UMNO mengambil kesempatan ini menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan semula pendekatan kita terhadap pembangunan ekonomi.

98. Kita memerlukan satu pendekatan yang lebih holistik, yang bukan sahaja memberi bantuan jangka pendek, tetapi membawa rakyat keluar terus dari kitaran kemiskinan secara total. Juga tidak mengabaikan golongan M40, yang terlalu “kaya” untuk layak menerima bantuan, tetapi terlalu “miskin” untuk hidup selesa dalam zaman ekonomi moden ini.

99. Wanita UMNO juga menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan semula pendekatan kita terhadap subsidi. Ya, kami faham keperluan untuk mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.

100. Tetapi kita juga perlu memahami bahawa setiap ringgit yang dikurangkan dari subsidi adalah satu pukulan berat kepada rakyat yang sudah terbeban. Kami mencadangkan satu kajian semula yang menyeluruh, satu pendekatan yang lebih berhemah dan berperingkat dalam rasionalisasi subsidi.

101. UMNO telah membuktikan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam membela nasib rakyat Malaysia dari segi ekonomi sejak merdeka lagi.

102. Sebagai tonggak Barisan Nasional selama berdekad- dekad, UMNO telah menerajui pembangunan negara dan mengangkat taraf hidup rakyat.

103. Semenjak merdeka zaman Tunku Abdul Rahman, sehinggalah ke era Datuk Seri Najib Razak. Sehingga kini, ramai yang merindui zaman Bossku.

104. Dengan pengalaman UMNO mentadbir negara dan pemahaman mendalam tentang isu-isu di peringkat akar umbi, kami menawarkan diri sebagai jambatan antara aspirasi pembangunan negara dan realiti kehidupan rakyat.

PERPADUAN POLITIK MELAYU DAN ISLAM

Sidang perwakilan yang saya kasihi sekalian,

105. Akhir sekali, kita sering mendengar tuduhan bahawa politik Melayu dan Islam sedang mengalami kemerosotan, bahawa suara Melayu dan Islam semakin dipinggirkan.

106. Ada pihak yang mendakwa bahawa kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah satu pengkhianatan kepada bangsa Melayu dan agama Islam.

107. Kini bukan masanya untuk membuktikan siapa lebih Melayu dan siapa Islam atau siapa menjuarai Melayu dan siapa yang menjuarai Islam. Kita mengucap syahadah yang sama. Bezanya hanya pendekatan yang dibawa.

108. Kita perlu sedar bahawa retorik perkauman yang melampau hanya akan merosakkan fabrik sosial masyarakat kita.

109. Lihatlah apa yang berlaku di Amerika Syarikat dengan kebangkitan alt-right, atau di Eropah dengan peningkatan parti- parti sayap kanan ekstrem.

110. Perpecahan masyarakat, peningkatan jenayah kebencian, dan ketidakstabilan politik adalah harga yang terpaksa dibayar demi suaka populis.

111. Tujuh dekad UMNO telah mengukir sejarah pembinaan Negara Bangsa. Namun hari ini, kita berhadapan dengan cabaran dari mereka yang mendakwa memperjuangkan agenda sama.

112. Dalam masa PAS berkhayal dengan negara Islam yang abstrak, UMNO telah membina institusi Islam yang konkrit – dari bank Islam hingga universiti Islam!

113. Dalam masa BERSATU berkhayal dengan imaginasi perjuangan Melayu versi mereka, UMNO sedang mengangkat martabat Melayu ke persada dunia!

114. Hakikatnya, UMNO tidak perlu membuktikan siapa lebih Melayu. Kita ADALAH perjuangan Melayu itu sendiri!

115. Sahabat-sahabat perjuangan, perbezaannya jelas:
Dalam ekonomi – PAS masih berteori, BERSATU masih tercari- cari, tetapi UMNO telah lama berbudi!
Dalam hubungan antara kaum – PAS mengasingkan, BERSATU mengelirukan, tetapi UMNO menyatukan!
Dalam arena antarabangsa – PAS terpencil, BERSATU baharu belajar berdiplomasi, tetapi UMNO telah lama dihormati!

116. UMNO menawarkan keseimbangan yang unik – menghormati tradisi sambil mendepani modenisasi.

117. Ideologi UMNO ini bukan fosil sejarah. Perjuangan ini tidak pernah sekali berubah.

118. Justeru sudah tiba masanya para perwakilan semua membawa mesej ini kepada seluruh rakyat jelata. Inilah perjuangan yang kita bawa dari Dulu, Kini dan Selamanya.

PENUTUP

Rakan seperjuangan sekalian,

119. Kita kini berdiri di ambang sejarah. Bukan sekadar sejarah UMNO, tetapi sejarah Malaysia!

120. Yang jahil perjuangan ingin mentalkinkan kita. Mereka kata UMNO sudah mati. Mereka kata zaman kita sudah berlalu.

121. Di seluruh dunia, kita telah menyaksikan kebangkitan yang menakjubkan. Di Jepun, Parti Liberal Demokrat bangkit dari kekalahan teruk untuk menguasai semula politik negara itu selama satu dekad!

122. Di India, Parti BJP bangkit dari hanya dua kerusi parlimen untuk menjadi kuasa dominan dalam politik India sehingga ke hari ini!

123. Jika mereka boleh, mengapa tidak kita?

124. UMNO bukan sekadar sebuah parti politik. UMNO adalah roh perjuangan bangsa dan agama! Dan hari ini, kita bangkit bukan untuk mengulangi sejarah lama, tetapi untuk menulis babak baru dalam lakaran cerita negara!

125. Kepada mereka yang masih ragu-ragu, letakkanlah noktah, marilah kita bangkit berpadu!

126. Kepada mereka yang telah putus harapan, rasakanlah tenaga baru yang menggegarkan dewan!

127. Kepada mereka yang masih menentang, bersiaplah, kami Wanita UMNO akan bangkit berjuang!

128. Jadi bangkitlah, wahai ahli Wanita UMNO di seluruh negara!

Bangkitlah, daripada kekecewaan yang panjang. Bangkitlah, dengan semangat pejuang.
Bangkitlah, insyaAllah, kita akan menang!

129. Ayuh! kita buktikan. UMNO terus kekal bertahan.

HIDUP UMNO!!! HIDUP UMNO!!! HIDUP UMNO!!!
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakuh.

Sekian, Terima Kasih dan selamat bersidang

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.