PAU2024: Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi
IDENTITI PARTI: BAYANGKARA AGAMA, BANGSA DAN NUSA
Ini zaman kita,
Kita depani cabaran berbeza, Kita corak langkah bersama, Kita mara dan terus usaha,
Kita korban jiwa dan raga,
Kita bangkit dan memperkasa,
Kita, PUTERI UMNO MALAYSIA.
ASSALAMUALAIKUM W.B.T
YBhg. Saudari Farehah Wasli
– Pengerusi Tetap Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
YBhg. Saudari Zulikha Abdul Talib
– Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Naib Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy
Setiausaha Agung UMNO, Ybhg Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dasuki Wakil-wakil Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
YBhg Saudari Siti Sokhleha Nordin
– Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
YBhg Saudari Nurul Syifaa binti Mohd Ridzwan Goh
– Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
YBhg Saudari Hanis Hazwani Hazmin
– Bendahari Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
YBhg Saudari Shamellya Norazizi
– Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
YBhg Barisan Exco dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri dan Bahagian Mantan-mantan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Adik-adik mahasiswi daripada Kelab UMNO Siswa dan adik-adik daripada PNG (Projek Next GenZ) serta para perwakilan yang menyaksikan ucapan ini secara maya di negeri dan bahagian-bahagian seluruh negara.
Terima kasih wakil-wakil daripada Kedutaan Palestin, dan Pesuruhjaya Tinggi OZ, British dan Singapore. Welcome to our General Assembly
Turut dialukan, wakil-wakil daripada parti komponen dan Friends of BN, para pemerhati, dif-dif jemputan & rakan-rakan media yang dikasihi.
PENDAHULUAN
Alhamdulillahirobbil alamin
Wassolatu wassalamu ‘ala sayyidina Muhammad wa ‘ala alihi wasohbihi ‘ajmain
Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanah waqina ‘adzabannar
Wasallallah hu ala saidina Muhammad, wa’ala a’lihi wasabihi wassalam
Walhamdulillah hirabbil a’l-amiin
Sidang perwakilan sekalian,
1. Selamat datang dan selamat kembali, kepada semua perwakilan Puteri UMNO Malaysia ke Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini. Kita dikurniakan rezeki, diberkati dengan kesihatan yang baik, dan diberi kesempatan untuk berkumpul meraikan perhimpunan tahunan ini.
2. Zaman ini, zaman kita. Zaman di mana kita tentukan cara kita berjuang, zaman kita mengorak dan mencorak perjalanan kita sendiri. Saya amat hargai semangat puteri-puteri semua. Terima kasih kerana masih bersama, merentas zaman, terus berpimpin tangan dan melangkah demi parti keramat kita. Ini, zaman kita.
3. Angin berubah arah, Manusia berubah tingkah, Matlamat terus malar,
Berganti zaman pun takkan pudar.
4. Ini adalah tahun kedua kita sebagai sebahagian daripada kerajaan hari ini, dan tentunya, banyak perkara yang boleh kita teladani, muhasabah, terus belajar dan tambah baik pada masa akan datang.
5. UMNO membuka dimensi baru kepada lanskap politik Malaysia, dengan dinamika politik yang kita rai, dan terima dengan tangan terbuka. Impaknya, barisan kepimpinan kita, masih lagi berada dalam pentadbiran tertinggi, dan buah fikiran serta kepakaran ahli kita masih berharga dalam menguruskan negara.
6. Alhamdulillah, kita baru sahaja memenangi Pilihan Raya Kecil Nenggiri dan berjaya merampas kembali kerusi UMNO, Barisan Nasional sebelum ini, malah kita berjaya merekrut 480 orang ahli baru yang memilih untuk menyokong calon UMNO, Barisan Nasional. Buat mereka semua, selamat datang dan selamat kembali.
7. Walaupun bermula dengan penghinaan, namun perjuangan ini berakhir dengan kemenangan. Kemenangan ini adalah kemenangan berganda dalam semua siri PRK sebelum ini, kerana inilah kerusi yang telah bertukar milik, dengan jumlah majoriti yang jauh berbeza dengan sebelumnya.
8. Tahniah, Ayahanda Presiden yang begitu komited dalam memastikan kemenangan kita di PRK Nenggiri. Tahniah juga diucapkan kepada YB Datuk Ahmad Jazlan, selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan serta seluruh kepimpinan Puteri, Wanita, dan Pemuda UMNO atas penat lelah, jerih payah, dan komitmen yang ditunjukkan.
9. Kemenangan ini kita syukuri. Semoga kemenangan ini menjadi titik lonjak untuk kita bangkit, dan memanjat semangat kita untuk kembali ke puncak. Namun jangan sesekali leka dan terlalu yakin mendabik dada, kerana realiti politik sekarang terlalu rapuh dan cepat berubah.
INI, ZAMAN KITA!
PEMERKASAAN SAYAP PUTERI
Sidang perwakilan puteri sekalian,
10. Puteri UMNO baru sahaja meraikan ulangtahun ke-23 pada 3 Ogos yang lalu. Satu usia kedewasaan yang seharusnya mampu menimbang mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang jelek dan mana yang elok.
11. Puteri UMNO adalah medan untuk kita belajar. Belajar berorganisasi, belajar berkomunikasi, belajar menzahirkan ilmu dalam lapangan, berpolitik, mengaplikasi ilmu seranta dan paling penting, sebagai landasan untuk kita semua berbakti kepada masyarakat.
12. Kewujudan Puteri UMNO asalnya adalah untuk mengglamorkan UMNO, untuk mendapatkan perhatian dan sokongan wanita muda, bersama-sama bergiat dalam medan politik. Namun, dalam masa yang sama menjadi penggerak dan berkhidmat kepada masyarakat melangkaui jurang bangsa, agama, kerjaya, ekonomi, mahupun ideologi.
13. Puteri UMNO masih teguh berdiri. Selama 12 bulan ini juga, PUTERI UMNO telah berjaya mencapai pelbagai prestasi yang membanggakan. Malah dengan rasa bangga dan teruja, saya ingin memaklumkan, bahawa kita ada penambahan sebanyak 378 cawangan baru Puteri UMNO yang telah berjaya bersidang pada tahun ini, dan jumlah keahlian Puteri UMNO bertambah sebanyak 18,216 ahli baru di seluruh negara!
14. Tahniah diucapkan kepada Puteri semua atas usaha cemerlang ini. Along amat bangga dengan kamu semua. Hasil usaha keras ini adalah tanda bahawa Puteri masih menyinar dan Insya-Allah, akan terus berkembang di masa mendatang. Dan, sebagai tanda penghargaan pada hari ini, Along ingin memberikan anugerah kepada Bahagian yang berjaya menguruskan persidangan cawangan terbanyak pada tahun ini.
INI, ZAMAN KITA!
15. Alhamdulillah, dengan izin Allah dan berkat kerja keras kita semua, Puteri UMNO Malaysia juga telah berjaya melaksanakan lebih 89 program untuk pelbagai golongan dan memberi impak kepada wanita muda di seluruh Malaysia! Ini termasuklah program-program yang berkaitan dengan pengukuhan akar umbi, ekonomi, kerohanian dan sebagainya.
16. Apa yang lebih membanggakan, Puteri juga bekerjasama dengan NGO untuk mengadakan program-program yang lebih menepati citarasa generasi masa kini, meliputi pelbagai aspek seperti Moodafest, Moodacare, Moodamoney, dan Moodarise. Kesemua program ini telah dikelola secara khusus untuk menepati kehendak wanita muda, dan merangkumi keperluan zaman ini.
17. Secara amnya, saya amat gembira melihat perkembangan ini. Puteri perlu terus aktif dan berevolusi sesuai dengan perubahan zaman. Perlu pantas beradaptasi dan membuat penyesuaian. Perlu berfikir di luar lingkungan dan kebiasaan. Dinamika politik sekarang terlalu pantas berubah. Sejenak kita leka, kita akan tertinggal selamanya.
18. Kita perlu berkembang melangkaui sempadan parti. Berkolaborasi dengan organisasi luar agar mereka dapat melihat sendiri kemampuan dan kelebihan PUTERI. Kita juga dapat belajar antara satu sama lain, dan membesarkan perspektif serta interpretasi.
INI, ZAMAN KITA!
Puteri-puteri yang dikasihi,
19. Kita juga telah selesai mengadakan retreat PUTERI UMNO Malaysia baru-baru ini. Mewakili PUTERI UMNO MALAYSIA, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Pengerusi Majlis Pengkaderan dan Latihan, kerana telah membantu untuk memperkemas barisan hadapan PUTERI UMNO Malaysia. Tahniah kepada Biro MPL Puteri.
20. Terima kasih Tok Wan, kerana sediakan platform untuk PUTERI melatih kepimpinan baharu. Banyak yang kami belajar, dan semoga ilmu yang diberi akan menjadikan kami lebih bersedia untuk membimbing barisan kepimpinan bahagian. Kami akan bekerja lebih keras sebagai satu pasukan yang jitu. Tahniah juga Along ucapkan kepada Biro MPL Puteri Malaysia.
21. Puteri juga harus komited dengan gerak kerja untuk Pilihan Raya Negeri dan Pilihanraya Kecil. Wanita muda 40 tahun ke bawah adalah sasaran kita.
22. Saya juga ingin menekankan kepada semua ahli Puteri UMNO, untuk lebih berani mengekspresi diri. Mungkin tidak perlu terlalu radikal, namun harus tegas dan bijak berkomunikasi menyatakan pendirian dan pendapat sendiri.
23. Bagi orang luar, kita hanyalah sekadar penyeri parti. Jadi, buktikan dan jadikan ubat supaya semangat kita lebih kuat. TIADA SAYAP WANITA MUDA PARTI LAIN, SETEGUH SAYAP PUTERI UMNO.
24. Kita parti yang matang, yang terbukti mampu berjuang. Setiap halangan dan cabaran, kita jadikan batu loncatan untuk menjadi lebih baik setiap hari.
INI, ZAMAN KITA!
Rakan-rakan sekalian,
25. Dalam persidangan tahun lalu, Puteri UMNO telah membentangkan dan memberi penekanan kepada beberapa isu yang menjadi perhatian kita sebagai pemimpin wanita muda. Ada beberapa isu yang telah kita utarakan mendapat seruan baik daripada kerajaan. Usaha ini adalah tanda keprihatinan dan membuktikan, bahawa suara dan pendapat Puteri UMNO adalah berasas dan relevan.
26. Mari kita bersama-sama mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri Presiden yang telah melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif kepada usaha untuk mengangkat TVET dengan lebih meluas.
27. Malah, fokus Dato Seri’ Presiden juga dapat dilihat dengan menyediakan galakan kepada calon yang tidak menduduki SPM, untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi, sekaligus mengurangkan isu keciciran pendidikan.
28. Isu kedua yang telah kita bincangkan tahun lalu adalah berkaitan dengan biasiswa MyBrain, yang disambung kembali dan telah membuka permohonan bermula pada 1 Ogos tahun ini.
29. Inisiatif MyBrain 2.0 bukan sahaja menggalakkan pelajar kita menyambung pengajian ke peringkat tertingi, tetapi juga mampu merealisasikan sasaran 60,000 pemegang ijazah PhD, sekaligus meningkatkan semula jumlah tenaga pakar dalam negara.
30. Ini membuktikan, polisi kerajaan Barisan Nasional yang kita laksanakan pada zaman Dato’ Sri Najib sebelum ini, adalah rintisan berharga dalam usaha memperkasakan pendidikan anak bangsa. Harapan kami, agar inisiatif ini dapat dikekalkan untuk membangunkan kembali modal insan, dan menjadi pencetus galakan serta motivasi kepada para graduan kita. Generasi berilmu adalah pemangkin kepada generasi yang akan mencipta transformasi.
31. Malah, hasil-hasil penyelidikan para graduan kita, akan menjadi sumber rujukan penting dalam mengisi keperluan pembelajaran dan kemajuan. Peribahasa Cina ada
menyebut, ‘Tanam sepohon pokok, akan menikmati redupnya sepuluh tahun kemudiannya. Bina sebuah sekolah, akan membentuk masyarakat 100 tahun kemudiannya’.
32. Begitu juga dengan usaha memperkasakan ilmu ini. Inisiatif ini pasti membawa banyak kebaikan pada masa akan datang.
INI, ZAMAN KITA!
PENGUKUHAN UMNO
Langkah bersama berhati-hati, Berjalan pulang redah gelita; Agenda utama kukuhkan parti, Bukan menjulang diri semata.
Sahabat seperjuangan sekalian,
33. Kita sudah melalui zaman karam, zaman anak-anak kapal terkapai-kapai kelemasan, zaman cemas mencari semula haluan. Walaupun kita berjaya kembali semula berenang ke pantai, perlu diingat, kapal kita masih perlu diperbaiki. Masih ada bocor di sana sini, yang perlu kita tampal kembali.
34. Sudah berapa lama kita bercakap tentang pembaharuan UMNO. Isu ini dilaung, diulang setiap kali kita berhimpun.
35. Adakah kita telah berjaya mencapainya? Adakah kita sudah diperbaharui?
Adakah kita masih mengkaji?
Atau sekadar melantun retorik dan janji?
36. Kita perlu kembali kepada asas penubuhan parti. Perjuangan yang kita bawa dalam lanskap politik kontemporari ini perlu selari dengan identiti parti. Namun adakah kita masih memahami identiti parti kita hari ini?
37. KITA PERLU ADA STRATEGI DAN PEMAHAMAN IDENTITI YANG SELARAS DENGAN PERLEMBAGAAN UMNO.
38. Bersama-sama UMNO, kita tumbuh. Dalam rumah ini kita berteduh, bertatih, berlari, bangun dan jatuh. Bersama keluarga ini, kita membesar dan belajar.
39. Rumah ini pernah berdiri megah, dipandang tinggi dan gagah. Namun seiring usia, kita lupa bahawa rumah kita ini masih perlu diselenggara. Rumah ini bertahan dalam cuaca berbeza, hujan, panas, dan kadangkala ribut melanda. Ada atap yang terbuka, ada dinding yang merekah, ada cat yang pudar warnanya, dan ada serangga perosak di sekitar rumah.
40. Semua ini perlu kita beri perhatian, dan perbaiki dari semasa ke semasa, agar rumah kita terus kukuh dan tidak roboh menyembah bumi. Rumah ini, perlu kita jaga.
41. Telah banyak yang kita bahas dan bincang. Namun, tanpa sebarang pelaksanaan, kata-kata kita tak akan memberi makna, dan UMNO akan terus dibuai mimpi dan terhambat dengan realiti yang memakan diri. UMNO perlu mengaplikasi strategi baru dan terkini.
INI, ZAMAN KITA!
Para Puteri yang Along kasihi,
TERAS PENTING
42. Usaha untuk mentransformasi parti perlu disegerakan. Atau selamanya, kita akan terus hidup dengan bayang-bayang sendiri.
43. Strategi lama kita terlalu mudah untuk dibaca dan dijangka. Parti perlu tukar pendekatan dengan menyediakan rangka tindakan strategi yang baru.
44. UMNO dulu, kini dan selamanya menjadi BAYANGKARA, atau penjaga kepada orang Melayu dan Islam. Sejarah telah membuktikan, sejak awal penubuhan UMNO bahawa orang Melayu dan bumiputera adalah penyokong dan pengundi teras UMNO.
45. Kenapa hari ini pengundi Melayu dan bumiputera suam-suam kuku bersama UMNO? Kenapa sokongan kepada UMNO semakin pudar walaupun telah banyak keistimewaan kita nikmati bersama. Kenapa?
46. Martabat UMNO sebagai penjaga Melayu dan Islam perlu kita kukuhkan kembali. Jadi, PUTERI UMNO mengangkat pemerkasaan 3 TERAS UTAMA iaitu Teras Agama, Teras Pendidikan, dan Teras Ekonomi yang menjadi akar kepada perjuangan kita ini, bagi mengembalikan sokongan, dan dokongan orang Melayu dan bumiputera kepada UMNO.
47. Teras yang pertama adalah TERAS AGAMA. PUTERI mengucapkan tahniah kepada YAB Dato’ Sri Presiden, di atas penubuhan Majlis Ulama UMNO.
48. PUTERI UMNO melihat Majlis Ulama ini sebagai satu badan penting dan bukan berfungsi untuk isu-isu tertentu sahaja. Sudah tiba masanya, Majlis Ulama UMNO berperanan sebagai badan yang terkehadapan dalam isu-isu yang berkaitan dengan umat Islam di Malaysia.
49. Penubuhan Kemas Tahfiz yang digagaskan oleh YAB Ayahanda Presiden merupakan satu usaha yang baik untuk memastikan generasi akan datang mampu mengimbangi antara duniawi dan ukhrawi. Inilah teras perjuangan UMNO.
50. Yang Kedua, TERAS PENDIDIKAN. Perkasa pendidikan, perkasa generasi. UMNO sentiasa berdedikasi dalam memastikan hak pendidikan orang Melayu dan bumiputera terus terjaga. Kita sedar akan kepentingan pendidikan dalam membangunkan bangsa yang berjaya.
51. Jadi, Puteri UMNO sepakat dengan pendirian Menteri Pendidikan Tinggi, Dato Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir, agar Dasar Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk pelajar Melayu, Orang Asli dan anak Sabah serta Sarawak seperti yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, dikekalkan oleh kerajaan.
52. Puteri UMNO juga memohon agar memperkemas segmen pendidikan kepada orang Melayu dan Bumiputera melalui MARA dan agensi di bawahnya seperti Giat Mara, UNIKL, KPTM dan UPTM, serta diberikan ruang untuk menjadi penghubung di antara insititusi pendidikan bumiputera dan anak muda, melalui kerjasama program dan seumpamanya.
53. Puteri percaya, pendidikan mampu mengubah kehidupan, dan menjadi pemangkin untuk keluar daripada kepompong kejahilan dan kemiskinan, serta memerdekakan jiwa dan minda. Kita perlu terus beriltizam mempertahankan teras ini, demi anak bangsa dan nusa tercinta.
54. Teras yang ketiga adalah TERAS EKONOMI. Tun Razak dinobatkan sebagai Bapa Pembangunan Negara. Kenapa gelaran tersebut signifikan dengan Tun Razak? Dasar Ekonomi Bumiputera (DEB) yang digagaskan oleh Tun Razak dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1990) menjadi lonjakan awal kepada peningkatan sosioekonomi orang Melayu dan bumiputera.
55. Walau ada pihak yang mempertikaikan keberkesanan dan pencapaian DEB, namun, asasnya jelas untuk memastikan sosioekonomi orang Melayu dan bumiputera dapat ditingkatkan, seiring dengan kaum lain di Malaysia.
56. Masih releven atau tidak DEB ini, bukanlah isunya. Apa yang diharapkan adalah, kerajaan tidak meminggirkan dan mengetepikan peluang dan ruang bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara.
57. Pastikan hak dan kelebihan bumiputera dalam kek ekonomi tidak diketepikan. Kita menerima Dasar Penjimatan Negara, namun, jangan kerana langkah penjimatan yang dilaksanakan, kek ekonomi bumiputera ini dikecilkan, malah dipinggirkan dek kerana teknologi dan AI.
58. Kerajaan perlu melihat semula dasar-dasar baru, dan pekeliling yang dikeluarkan. Jangan sesekali meminggirkan hak ekonomi bumiputera yang termaktub dalam perlembagaan. Hal ini penting bagi memastikan sosioekonomi bumiputera dapat berkembang dengan baik.
59. Oleh yang demikian, Puteri UMNO menyokong penuh Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) yang baru sahaja dilancarkan pada Isnin lalu, kerana ini adalah teras perjuangan kita. Libatkan sebanyak mungkin penyertaan, pemilikan dan penguasaan usahawan bumiputera, khususnya golongan wanita muda dan belia.
60. UMNO perlu menjuarai dan memperkukuh 3T ini (Teras Agama-Teras Pendidikan dan Teras Ekonomi). Inilah teras kita, inilah perjuangan kita, inilah bekalan kita kepada anak muda dan inilah naratif kita kepada pendokong dan penyokong kita. Inilah UMNO yang menjadi ‘BAYANGKARA HAK-HAK ORANG MELAYU DAN ISLAM!’
INI, ZAMAN KITA!
Sidang perwakilan sekalian,
61. Marilah kita bangkit, bersama-sama membawa kembali kegemilangan UMNO. UMNO perlu membuka minda dan hati, mengkaji serta menganalisis kelemahan parti berbanding mencari kesalahan parti lain. Kata Socrates, ‘Kenalilah dirimu sendiri, barulah kita dapat mengetahui kekurangan kita, seterusnya memperbaiki aspek-aspek penting dalam hidup kita.’
62. Buat semua ahli-ahli UMNO yang saya hormati, ingatlah, kita adalah duta kecil yang menjadi muka depan parti ini. Yang menjadi barisan hadapan untuk membimbing ahli-ahli kita. Yang menjadi penilaian masyarakat tentang elok budi dan pekerti. Jadilah seperti keris panjang berlekuk, ke mana dibawa ke mana elok.
63. Untuk barisan kepimpinan UMNO, jadilah seperti memalu ular dalam benih: ular biar mati, benih jangan rosak. Andai ada sebarang isu atau masalah yang melanda, bersikap bijaksanalah dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
64. Sebagai Ketua Puteri UMNO Malaysia, saya menyeru kepada barisan kepimpinan tertinggi untuk memberi perhatian kepada sayap Puteri UMNO demi kelangsungan dan kemandirian parti pada masa hadapan.
65. Ada yang minta, lanjutkan sajalah usia Puteri kepada 40 tahun. Katanya, dah bertahun Puteri bawa usul ini. Ada juga yang berkata, tak sesuai dilanjutkan, tapi perlu dipendekkan. Saya mohon pandangan semua perwakilan dan para pembahas sekalian.
66. UMNO perlu fokus kepada kekuatan kita. Iaitu memperkasa AGENDA PATRIOTISME dan SEMANGAT KENEGARAAN. Kita perlu kembali mengepalai dan menjadi pencetus semula kepada gerakan ini, dan perlu dimulakan dengan kepimpinan tertinggi. Kita perlu mengolah semula pendekatan memicu semangat kenegaraan.
67. Dan yang paling penting untuk kita membina semula parti kita, jangan sekali menjadi api dalam sekam, yang menjahanam dari dalam. Ingatlah, kapak tak boleh membelah kayu, kalau bukan kayu yang menjadi hulunya.
68. Bangkitlah PUTERI-PUTERIKU SEKALIAN! Kita mampu mengembalikan kegemilangan UMNO!
INI, ZAMAN KITA!
HALA TUJU DAN GERAK KERJA PUTERI
69. Alhamdulillah. Puteri telah berjaya melaksanakan hala tuju yang dirancang dalam 12 bulan pertama. Untuk 12 bulan ke hadapan pula, Puteri memberi fokus kepada Pemerkasaan, Pembangunan, dan Pelaksanaan.
70. PEMERKASAAN: Melahirkan ahli yang kompeten, berilmu dan berkemampuan menerusi galakan, latihan dan peluang dari segi akademik & ekonomi.
71. PEMBANGUNAN: Mencipta kerangka dan gerak kerja PUTERI yang selari dengan perubahan zaman, serta keperluan politik semasa.
72. PELAKSANAAN: Mengadakan inisiatif yang menjangkaui kelompok wanita muda yang lebih besar dengan pelbagai golongan.
73. Bagi memastikan hala tuju ini dapat dilaksanakan dengan baik, agenda ini perlu disertakan dengan 3 elemen iaitu:
74. RANGKUM: Libatsama semua ahli di setiap peringkat untuk memperkuat PUTERI sebagai satu pasukan besar yang saling menyokong antara satu dengan yang lain.
75. RAI: Meraikan buah fikir dan memberi peluang kepada setiap ahli PUTERI untuk ke hadapan, menyuarakan pendapat dan ruang untuk menzahirkan idea.
76. RANGKA: Memilih pendekatan terbaik untuk dimasukkan menjadi rangka tindakan PUTERI UMNO.
77. PUTERI perlu menjadi ‘ground worker’ dan jambatan yang menghubungkan rakyat dengan parti. Puteri perlu mendekati dan menjadi suara penghubung komuniti agar sampai kepada pemimpin dan didengari.
78. Saya juga ingin menekankan pemerkasaan akademik dalam kalangan PUTERI UMNO supaya ahli-ahli PUTERI mampu menjadi individu yang berpengetahuan dan menyumbang kepada perkembangan ilmu dan idea. Ingatlah, wanita berpendidikan tinggi bukan untuk menandingi lelaki, tetapi untuk membangunkan generasi.
79. Gerak kerja kita perlu selari dan berkoordinasi. Kita perlu duduk bersama, dan bincang semula metodologi terbaik untuk kita bergerak ke depan, dan mencapai keputusan yang maksimum dalam apa juga yang kita lakukan.
80. Konsep perjuangan PUTERI juga, perlu berbalik kepada perlembagaan UMNO dan teras yang kita tekankan.
INI, ZAMAN KITA!
Rakan-rakan seperjuangan Puteri,
INISIATIF PUTERI UMNO
81. PUTERI UMNO mengangkat Teras Ekonomi yang ditekankan sebentar tadi. Dengan sukacitanya, PUTERI UMNO akan melancarkan Program Usahanita Peruncitan Nasional bersama BH Petrol. Program ini bertujuan untuk memperkasa ekonomi wanita muda dan memberi galakan untuk mereka menyertai bidang keusahawanan.
82. Tahniah diucapkan kepada Biro Keusahawanan Puteri UMNO Malaysia atas inisiatif ini.
83. Seterusnya, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Team Biro Penerangan Puteri UMNO, kerana baru sahaja selesai mengadakan Pertandingan Akhir Pidato Puteri UMNO pagi semalam. Program ini, kita jayakan untuk mencungkil bakat-bakat wanita muda untuk diketengahkan.
84. Selain daripada itu, bagi menyahut pelaksanaan UNDI18, Biro Mahasiswa PUTERI UMNO juga telah mengaktifkan Project Next GenZ (PNG) yang juga akan dilancarkan pada hari ini. PNG ini, mensasarkan golongan pengundi muda berusia 15-25 tahun, sebagai usaha untuk menggalakkan penglibatan belia dalam politik, melatih mereka sebagai pemimpin, dan sebagai langkah perkaderan pelapis generasi PUTERI akan datang.
85. Hari ini, kita telah berjaya mengumpulkan lebih kurang 400 orang dari seluruh negara untuk bersama-sama kita. Syabas Biro Mahasiswa, dan terima kasih adik-adik sekalian. INI, ZAMAN KITA!
ISU ANAK MUDA DAN WANITA MUDA
86. Lain padang, lain belalang. Lain tahun, lain cabaran. PUTERI komited untuk menyelami dan memahami isu yang dihadapi, menggema suara anak muda khususnya wanita muda supaya didengari dan diambil peduli oleh pihak atasan tertinggi. Puteri UMNO menggesa agar kerajaan memberi perhatian kepada isu-isu yang kami bangkitkan pada tahun ini.
87. Pertama: Diskriminasi dan Keganasan Terhadap Wanita. Terlalu banyak kes-kes keganasan wanita yang dilaporkan kebelakangan ini. Kita selalu baca, banyak aduan kes yang dipandang sebelah mata dan tidak diambil serius oleh pihak berkuasa sehingga perkara menjadi lebih teruk. Banyak aduan tidak diberi perhatian, malah ada yang disuruh pulang ke rumah dan selesaikan sendiri atas alasan ‘masalah keluarga’.
88. PUTERI menggesa agar diwujudkan satu landasan aduan, yang melindungi nama pelapor untuk tujuan keselamatan, sebagaimana yang dilaksanakan oleh SPRM kepada ‘whistle blower’. Melalui platform ini, polis boleh membuat semakan silang atau ‘crosscheck’ terhadap nama yang dilapor.
89. Puteri memohon, penyediaan lebih banyak Rumah Perlindungan Wanita buat mangsa-mangsa yang terkesan bagi menjamin keselamatan mereka, serta bantuan psikologi untuk membantu mereka menangani trauma. Untuk makluman semua juga, PUTERI UMNO Malaysia menyediakan khidmat guaman menerusi Biro Perundangan kepada mereka yang memerlukan nasihat berkaitan.
90. Puteri juga menggesa agar fungsi Talian Kasih ditambahbaik dan maklumat berkaitan disebarluas dengan lebih berkesan melalui pelaksanaan kempen dan program.
91. Kedua: Kesihatan Wanita. Dulu, sewaktu kita memerintah, kerajaan kita amat peka dengan isu hak kesihatan golongan wanita. Malah, kita pernah mengadakan inisiatif untuk para wanita yang berusia 18 tahun ke atas untuk mendapatkan suntikan HPV dan ujian mamogram secara percuma di Malaysia sebagai usaha untuk mengurangkan dan mencegah kanser servik dan barah payudara dalam kalangan wanita.
92. Dulu, mana-mana wanita berusia 18 tahun ke atas, boleh terus ke LPPKN atau Klinik Nur Sejahtera untuk dapatkan vaksin ini. Betapa kita cakna dan peduli, tentang isu kesihatan wanita satu masa dulu. Tapi sekarang, kita cuma ada saringan ujian HPV secara percuma.
93. Bukan murah nak ambil vaksin HPV di klinik swasta. Harga satu suntikan saja hampir RM500. Tak semua ada kemampuan, dan tak semua ada kesempatan. Berdasarkan inisiatif ini, kita berjaya mengesan kes-kes HPV positif dan barah payudara. Begitu besar kesan yang kita pernah beri kepada wanita di negara ini.
94. Inisiatif ini malangnya telah dihentikan selepas pertukaran pentadbiran. Tapi hak kesihatan adalah hak rakyat dan tanggungjawab kerajaan. Adakah kesihatan wanita tidak penting kepada kerajaan? Dengan ini, PUTERI UMNO Malaysia, menyeru agar kerajaan cakna dan kembalikan semula inisiatif suntikan HPV percuma untuk 18 tahun ke atas kepada semua wanita yang layak. Laksanakan semula program dan adakan kempen untuk capaian maklumat yang lebih besar.
95. Ketiga: Isu Perwakilan Politik Wanita. Bercakap tentang perwakilan politik wanita ini, dah lama kita perjuangkan. Sejak tahun 60an lagi. Tapi masih lagi gagal untuk kita capai. Dah nak habis pun 2024, tapi setakat ini, kita cuma ada 30 Ahli Parlimen wanita, iaitu sekitar 13.5% sahaja dan 13 orang atau 21.6% sahaja dalam kabinet.
96. Kita dah berjaya capai 38.8% wanita yang memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dalam sektor awam, tak mustahil kita juga sebenarnya mampu untuk capai sasaran kita dalam sektor politik satu hari nanti andai diberi peluang.
97. Kepada kepimpinan tertinggi parti, bukalah ruang. Kami ada banyak bakat yang boleh diasah dan diketengahkan. Latih, kedepankan, dan gilaplah kami menjadi permata dalam parti.
Sidang perwakilan yang saya hormati,
INI, ZAMAN KITA!
98. Ini adalah waktu dan zaman kita merealisasi cita. Kitalah yang perlu mencorak sendiri perjalanan ini. Kita juga yang bertanggungjawab mengangkat kembali prestasi parti.
99. Sebagai ahli UMNO, tingkah kita seharusnya semakin matang seiring dengan usia parti. Teruslah berusaha memajukan diri, supaya dapat menjadi tonggak untuk parti keramat ini.
100. Sekarang bukan lagi waktu untuk kita bermimpi. UMNO wajib melaksanakan transformasi, dan ianya bermula daripada kita sendiri. Demi kelangsungan UMNO, teruskan upaya kita untuk berevolusi agar perjuangan kita tidak mati dan terhenti.
101. Pimpin tangan, jalan seiringan, kuatkan barisan, teguhkan kepercayaan dan langkah ke hadapan.
Kuat lilit, kerana simpulnya, Kuat sepit, kerana kempa; Selagi kita masih bersama, Selagi itu UMNO bernyawa!
INI, ZAMAN KITA!
PENUTUP
Terus subur dan takkan goyang, Sinambung parti kita pertahan; Takkan kendur semangat juang, Langkah PUTERI terus ke depan.
Sedia perang di medan tempur, Didorong tekad penuh sepakat; Sedia serang sedia gempur,
Agenda PUTERI kita perhebat!
102. Sebagai penutup, saya ingin menzahirkan rasa bangga dan terharu atas sokongan kalian, ahli-ahli Puteri semua yang masih terus bersama-sama pada hari ini. Terima kasih Along ucapkan.
103. PUTERI masih teguh berdiri, kerana kalian semua disisi!
104. Berkuah sama menghirup, bersambal sama mencolek. Ukuwah yang kita bina bukan sekadar gurau senda di waktu suka semata. Dalam perjuangan ini, kita jumpa nilai persaudaraan yang berharga dan persahabatan yang terjalin sampai
bila-bila, Insya-Allah. Saat jatuh sama ditempuh, saat menang kita sama-sama menjulang.
105. Buat ahli-ahli PUTERI sekalian, ada rezeki, kita berjumpa lagi. Tetaplah membawa semangat PUTERI dan parti, walau di mana kita pergi. Semoga usaha kita, yang kita iringi dengan niat yang baik, dipermudah Ilahi.
Pasang kekuda berjaga-jaga, Siap melawan tiap terjahan; Tetap waspada tetap siaga,
SELAMANYA UMNO, KITA PERTAHAN.
Sederap barisan melangkah,
Terus ke depan mengejar cita; Kami Puteri tak akan goyah,
DEMI UMNO, PARTI TERCINTA. INI, ZAMAN KITA!
Wabillahitaufik Walhidayah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia