Himpunan BN Sabah Suntik Semangat dan Azam Baharu Kepada Ahli Parti – Suhaimi

SANDAKAN, 22 Julai – Penganjuran Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah 2024 membawa manifestasinya tersendiri sekaligus menyuntik semangat penyatuan dalam kalangan akar umbi parti, kata Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang juga bertindak sebagai pengerusi penganjur.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran berkata konvensyen ini yang dilaksanakan sempena ulang tahun BN ke-50 sebagai bukti bagi memberi keyakinan pada rakyat bahawa BN adalah sebuah parti yang kuat, kukuh dan relevan.

“Program Himpunan ini adalah bertujuan sebagai titik pertemuan antara komponen BN Sabah, sekaligus menyuntik semangat dan azam baharu kepada ahli parti.

“Atas kebersamaan, kerjasama dan tanggungjawab ke atas parti, BN Sabah dapatlah kita melaksanakan program hari ini.

“Sambutan dan kehadiran luar biasa ahli-ahli kompenan BN pada himpunan ini menunjukkan momentum serta semangat tinggi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang akan diadakan pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan aluan sempena majlis berkenaan yang diadakan di Dewan SMJK Tiong Hua, Sandakan, Ahad.

Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Bendahari BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan kepimpinan lain.

Terdahulu himpunan ini yang bermula sejak awal pagi tadi berlangsung dengan jayanya yang dimeriahkan dengan kehadiran hampir 15,000 akar umbi dan penyokong BN.

Ia menyaksikan pelbagai pengisian melalui diskusi dan pencerahan yang diberikan oleh panel-panel terdiri daripada pemimpin BN di peringkat Pusat dan negeri.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri turut hadir bagi ucapan penutup.

Beliau dalam ucapannya memberikan kepercayaan bahawa hanya anak Sabah sahaja boleh mentadbir negeri ini dengan sebaiknya sambil berkata tiada campur tangan daripada kepimpinan dari semenanjung. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit