Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, Ahmad Zahid Merafak Sembah Tahniah

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merafak sembah tahniah menzahirkan penghormatan dan sokongan terhadap Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah selepas baginda berdua selesai mengangkat sumpah pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian menerusi hantaran di laman sosial media Facebook beliau.

“Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada 20 Julai 2024 Bersamaan 14 Muharam 1446H.

“Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberkati pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” tulis Ahmad Zahid dalam hantaran tersebut hari ini.

Terdahulu istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 telah berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat raja-raja Melayu di Balairung Seri Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

Istiadat pertabalan itu ialah pemasyhuran kepada seluruh dunia bahawa Sultan Ibrahim telah bersemayam di takhta sebagai Ketua Tertinggi Negara yang menggalas tanggungjawab menjadi payung mahkota menaungi rakyat Malaysia untuk tempoh lima tahun. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit