PRK Sungai Bakap: Jangan Terpedaya Dengan Dakyah Pembangkang – Othman
NIBONG TEBAL, 1 Julai – Para pengundi dinasihatkan untuk tidak terpedaya dengan segala dakyah yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) sepanjang tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ini.
Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, gerak kerja jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen ini berlangsung dilihat semakin mantap serta ada peningkatan dari segi kerjasama.
“Sebenarnya gerak kerja ini kalau kita tengok sejak hari penamaan calon, saya nampak kesepakatan kerjasama BN-PH sebab semasa hari penamaan calon itu bermula dari pejabat UMNO Bahagian. Semua parti (Kerajaan Perpaduan) ada. Kebersamaan itu ada dan nampak mantap dari segi kerjasama. Itu pada hari penamaan calon.
“Kemudian, proses kempen berjalan. Ada beberapa tempat yang saya pergi, nampak ada peningkatan dari segi kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan ini semakin kukuh, tidak nampak macam mula-mula dulu … nampak segan atau malu.
“Tetapi yang di Sungai Bakap ini semakin mantap dari segi jentera dan ia melibatkan semua. Ada yang uruskan ceramah mega dan bekerja di pusat daerah mengundi (PDM). Kita Veteran UMNO juga masuk, jumpa rakan-rakan veteran untuk memberikan penjelasan. Maknanya dari segi jentera semakin mantap dan secara tidak langsung gerak kerja itu semakin tersusun,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, pelbagai faedah akan dapat dinikmati oleh rakyat di Sungai Bakap sekiranya mereka memberi mandat kepada calon Kerajaan Perpaduan yang selari dengan pentadbiran di negeri dan pusat.
“Kerajaan pusat Kerajaan Perpaduan. Kerajaan negeri juga Kerajaan Perpaduan. Buat apa kita di Sungai Bakap ini nak memilih calon pembangkang? Lebih senang kerjanya dari segi penyelarasan, keseragaman … senang buat kerja. Kita jangan cari susah, kita cari senang. Nak senang, pilih calon nombor satu supaya DUN selari dengan Parlimen, negeri dan pusat. Faedah atau kebaikannya dapat kepada pengundi. Itu pandangan saya.
“Kita ada seminggu lagi. Kepada jentera, ini masa kita cari undi. Kita kena turun cari pengundi di segenap lapisan masyarakat. Setiap parti kena bergerak, cari pengundi. Buat penyelarasan, kita target kepada pengundi. Ini penting sebab kalau tak kena target pun takkan menjadi sebab kita hanya ada beberapa hari berbaki,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru rakyat di Sungai Bakap untuk membuat perubahan demi menyelesaikan masalah setempat yang membelenggu sekian lama.
“Kepada pengundi, kita jangan cari masalah kerana isu-isu yang pembangkang bangkitkan tidak menguntungkan kita pun. Isu-isu yang mereka bawa adalah untuk mempengaruhi kita di sini. Sebenarnya, tidak mempengaruhi apa-apa pun. Kalau Kerajaan Perpaduan kalah di sini sekalipun, tidak akan merubah apa-apa kedudukan kerajaan pusat dan negeri. Oleh sebab itu, kita kena memenangkan calon Kerajaan Perpaduan.
“Kepada pengundi saya rasa kita banyak dah kena tipu dan dikelirukan oleh dakyah serta fitnah dibuat mereka ini. Cukup-cukuplah. Kalau PN naik (diberi mandat) sekali pun, mereka tidak boleh menyelesaikan masalah setempat seperti masalah air dan tanah. Kalau nak selesai, masa calon Pas dulu pun dah selesai. Tak selesai juga.
“Kita kena buat perubahan. Kali ini kita tidak mengekalkan calon lama sebaliknya kita ubah kepada calon baharu yang lebih baik. Manfaatnya juga akan diterima oleh para pengundi di Sungai Bakap. Nasihat saya, kita pilih calon nombor satu, Dr Joohari Ariffin yang lebih mampu untuk membawa pembangunan dan menyelaraskan aktiviti bagi memajukan Sungai Bakap,” katanya lagi.
PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).
PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.
Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai.
Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman