PRK Sungai Bakap: Buka Minda, Ketepi Sentimen… Perbetulkan Keadaan
NIBONG TEBAL, 28 Jun – Para pengundi di Sungai Bakap diseru untuk membuka minda di samping mengetepikan sentimen dan berani untuk menghadapi cabaran dengan memperbetulkan keadaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang bakal berlangsung pada 6 Julai ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau mengharapkan agar kesemua pengundi UMNO yang berdaftar dan penyokong bakal membuat perubahan dengan memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan.
“Di Sungai Bakap ini kita ada 5,000 ahli UMNO yang berdaftar. Tetapi ada ahli UMNO atau penyokong UMNO yang tidak berdaftar. Pada saya, setiap satu ahli ada seorang lagi penyokong. Jadi mungkin kita ada 10,000 orang ahli dan penyokong UMNO, sama ada yang baru atau lama.
“Saya mengharapkan yang 10,000 orang ini ahli dan seorang lagi penyokong dengan nisbah yang logik. Satu ahli UMNO, ada seorang penyokong UMNO. Mungkin anaknya belum menjadi ahli, tapi mak ayahnya sudah menjadi ahli. Mungkin adik-beradiknya sudah menjadi ahli, tapi sepupu saudaranya belum menjadi ahli, tapi menyokong.
“Jadi, 5,000 tambah 5,000 akan ada 10,000. Kita nak memilih calon yang boleh mewakili rakyat di Sungai Bakap bagi memenuhi kepentingan rakyat atas pelbagai isu. Tentunya, hanya parti yang mewakili kerajaan boleh berbuat demikian,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, tiada apa yang boleh dilakukan oleh wakil rakyat pembangkang dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat sekiranya mereka diberi mandat.
“Di belakang calon kita ini ada ketua menteri dan exco kerajaan negeri. Di belakang calon kita ini ada perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri, ketua-ketua agensi, pengerusi-pengerusi… berbagai perkara. Itu hakikatnya.
“Siapa ada di belakang calon pembangkang? Mereka tidak ada ketua menteri, tak ada exco, tidak ada perdana menteri, tidak ada menteri. Tidak ada sesiapa di belakang dia… yang ada cuma pembangkang-pembangkang lain yang tidak boleh memberi apa-apa pertolongan pun kepada penduduk Sungai Bakap.
“Jadi kita kena membuka minda, mengetepikan sentimen, menghadapi cabaran dengan berani untuk membetulkan keadaan. Pilihlah Dr Joohari Ariffin, calon kerajaan yang di belakangnya ada kerajaan negeri dan juga pusat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut membidas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah yang meraih undi rakyat dengan menggunakan slogan ‘hijrahkan Sungai Bakap’.
“Jika bersama mereka ini ibarat hijrah daripada kejayaan kepada kegagalan. Hijrah daripada keberadaan kepada kesukaran. Hijrah daripada mimpi yang tak akan dicapai. Buat apa hijrah untuk itu?
“Kita kalau boleh, hijrah daripada impian kepada kenyataan. Tekanan air rendah kepada tekanan air tinggi. Daripada kurang air kepada banyak air. Itu yang kita inginkan. Itulah sebenar-benar penghijrahan,” katanya lagi.
PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.
Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai.
Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman