Imarahkan Aidiladha… Mohamed Khaled Bersama Agih Daging Korban Kepada Asnaf

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengimarahkan hari raya aidiladha bersama kariah Masjid Bandar Permas Jaya untuk mengagihkan daging korban dan bakul makanan kepada asnaf di kawasan berkenaan, pada Isnin.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau beranggapan bahawa program seperti ini memberi peluang untuk beliau meninjau keadaan masjid dan kariah di samping mendekati rakyat.

“Berada di Masjid Bandar Permas Jaya bagi Program Pengagihan Daging Korban dan Bakul Makanan untuk asnaf yang tinggal di kawasan ini.

“Di samping dapat bersama-bersama dalam program sebegini, saya turut berpeluang meninjau sendiri bukan sahaja keadaan masjid dan kariah, tetapi masyarakat di sini yang memberi perhatian terhadap golongan kurang bernasib baik di kawasan ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, ibadah korban telah mendidik umat Islam supaya bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

“Terdapat dua perkara yang saya kongsikan sebentar tadi. Pertama ialah ibadah korban mendidik kita supaya bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Tidak kiralah sama ada para penyumbang mahupun penerima. Maka atas kesedaran itulah, kita wajar menjaga dan memelihara nilai yang menjadi nadi kekuatan dalam institusi masyarakat kita.

“Kedua ialah soal pengorbanan. Kalau nak mencapai kejayaan, mestilah ada pengorbanan. Tanpa pengorbanan, kita tidak mungkin akan maju. Dalam konteks ini, boleh dikaitkan tentang usaha penjimatan pihak kerajaan untuk menjayakan kerangka ekonomi dan kewangan negara. Saya percaya apabila usaha ini dilakukan, kita akan mampu mengukuh kedudukan negara dan seterusnya dapat membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.

“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada pihak masjid dan seluruh masyarakat yang terlibat dalam menjayakan program ibadah korban pada tahun ini. Salam Aidiladha buat semua,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.