Aidiladha: Hayati Nilai Pengorbanan, Ketaatan Dan Kebersamaan Dalam Beribadah – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Aidiladha yang akan disambut oleh umat Islam esok bukan sekadar perayaan sebaliknya hari untuk menghayati nilai-nilai pengorbanan, ketaatan, kebersamaan dan keikhlasan dalam beribadah.

Beliau turut menyeru agar semua pihak berazam memperkuat hubungan silaturahim dengan keluarga, sahabat dan masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, kita sekali lagi diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk menyambut Aidiladha, hari yang penuh bermakna dan berkat dalam kalendar Islam,” katanya.

Mengimbau kisah Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS, Ahmad Zahid berkata kita diingatkan tentang betapa besarnya pengorbanan yang perlu dilakukan demi memenuhi perintah Allah SWT.

“Kisah ini menjadi satu manifestasi ketakwaan seisi keluarga yang mempamerkan ketabahan seorang ayah, kepatuhan seorang anak dan redanya seorang isteri serta ibu dalam mentaati perintah Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam ini.

Ahmad Zahid berkata melalui ibadah korban, kita bukan sahaja menjalankan perintah agama tetapi juga membantu mereka yang memerlukan dan menunjukkan keprihatinan serta kasih sayang kepada sesama insan.

Beliau turut mendoakan agar segala ibadah dan amalan jemaah yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci diterima oleh Allah SWT serta selamat kembali ke tanah air dengan membawa haji mabrur.

“Bagi yang belum berkesempatan, semoga Allah SWT mempermudah jalan untuk menunaikan rukun Islam kelima ini pada masa akan datang. Jadikan Aidiladha yang diraikan sebagai masa untuk memperbaharui niat dan keikhlasan dalam setiap amalan.

“Besar pengharapan agar segala pengorbanan dan usaha kita mendapat rahmat dan keredaan Allah SWT serta memperkuat iman dan takwa kita kepada-Nya,” kata beliau yang turut mengucapkan Selamat Menyambut Aidiladha kepada seluruh umat Islam di Malaysia. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.