BN, Pas Sekali Lagi Sepentas Dalam Pentas Perdana PRK Cameron Highlands
JELAI, 20 Jan – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands memperlihatkan kerjasama, kesepakatan dan permuafakatan antara Barisan Nasional (BN)/UMNO dan Pas semakin kukuh dalam blok pembangkang.
Ini dapat dilihat di dalam beberapa siri kempen untuk memenangkan calon BN, Ramli Mohd Nor bagi mempertahankan kerusi kawasan Parlimen tersebut, baik ketika kempen rumah ke rumah, penganjuran program hinggalah kepada ceramah perdana di Pusat Daerah Mengundi (PDM) seperti di Kampung Keledek, di sini pada 18 Januari lalu yang dihadiri hampir seribu penduduk tempatan.
Ceramah tersebut menampilkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Dewan Pemuda Pas, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi serta kepimpinan negeri dan tempatan dari kedua-dua parti.
Turut hadir Ramli Mohd Nor serta bekas calon Pas Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Wan Mahadir Wan Mahmud.
Di dalam ceramahnya, antara lain Tuan Ibrahim menyatakan komitmen Pas untuk membantu BN berkempen serta beliau turut menyeru para pengundi Pas supaya keluar mengundi dan memilih calon BN pada 26 Januari nanti demi kepentingan dan kemaslatan ummah.
Sehubungan itu, pada malam ini bertempat di Dataran Felda Sungai Koyan 1, di sini, akan diadakan Pentas Perdana, dijadualkan bermula jam 9 malam.
Pentas Perdana akan menampilkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di samping Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan calon BN, Ramli Mohd Nor.
Turut dijadualkan juga pada minggu hadapan, memasuki minggu kedua kempen, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan turun berkempen bergandingan dengan pemimpin BN bagi membantu kemenangan BN.
Sebelum ini, di dalam beberapa PRK bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hinggalah Parlimen Port Dickson, BN dan Pas juga sepentas dalam siri-siri ceramahnya. – Media UMNO