Agong Mahu Perhatian Dan Peruntukan Saksama Di Semua Negeri, Kawal Penghijrahan Ke Ibu Kota

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan harapan agar perhatian dan peruntukan dibahagikan secara saksama kepada semua bandar di 13 negeri seluruh Malaysia.

Seri Paduka Baginda bertitah sekiranya semua negeri dapat dibangunkan bersama, penghijrahan penduduk ke pusat bandar raya dapat dikurangkan dan kesesakan akan lebih terkawal.

“Pembangunan ekonomi di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah membuka banyak peluang pekerjaan dan menyebabkan penghijrahan penduduk dari negeri-negeri lain ke kawasan Wilayah Persekutuan.

“Oleh sebab itu kerajaan terpaksa membangunkan infrastruktur awam yang lebih cekap untuk mengatasi kesesakan jalan raya dan memenuhi keperluan penduduk bandar raya ini yang semakin padat.

“Persoalannya adakah kerana wilayah ini ditadbir secara terus oleh kerajaan Persekutuan, banyak peruntukan pembangunan ditumpukan kepada tiga wilayah ini sahaja?” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2024 di Istana Negara di sini, hari ini.

Turut berangkat pada istiadat itu adalah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Sultan Ibrahim turut menyeru Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar sentiasa memantau kebersihan selain turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya tidak sesuka hati membuang sampah merata-rata.

“Semua orang tahu yang saya suka memandu sendiri kereta saya, jadi saya dapat melihat dengan jelas keadaan jalan raya dan kawasan sekitarnya. Apa yang saya nampak masih ada beberapa tempat di Kuala Lumpur ini yang kebersihannya kurang memuaskan.

“Kerajaan saya bukan kerajaan pungut sampah. Kepada penguat kuasa, jalankanlah tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah,” titah Seri Paduka Baginda.
Pada istiadat berkenaan, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 33 individu, termasuk Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Istiadat itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Bersempena bulan Ramadan, Seri Paduka Baginda turut berpesan kepada seluruh umat Islam di negara ini supaya tidak membazir apabila berbelanja untuk juadah berbuka puasa dan ketika membuat persiapan untuk Hari Raya Aidilfitri kelak.

“Bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam

“Janganlah membazir kerana pembaziran itu adalah sifat keji yang akan mencacatkan keberkatan dalam bulan Ramadan,” titah Seri Paduka Baginda. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.