UMNO Lahad Datu Aplikasi ‘Simpanan Hari Persaraan Rakyat’ Demi Masa Depan

LAHAD DATU, 12 Mac – UMNO adalah parti yang prihatin dan sentiasa memikirkan kepentingan rakyat dalam semua peringkat usia, iaitu dari kelahiran hinggalah kepada usia emas.

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul berkata, atas keprihatinan dan rasa cakna terhadap keperluan golongan yang berusia maka program UMNO Prihatin ‘Simpanan Hari Persaraan Rakyat’ telah dilaksana.

Katanya, program yang diadakan dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tersebut adalah cetusan idea memikirkan kelangsungan kehidupan warga tempatan yang tidak mempunyai akaun simpanan untuk persaraan pada hari tua kelak.

“Alhamdulillah, selesai bersama KWSP menyantuni warga tempatan yang tidak mempunyai simpanan terbabit sedangkan ia mempunyai banyak manfaat kepada para pencarumnya.

“Ia adalah alternatif yang dilaksana oleh UMNO Bahagian Lahad Datu dalam menjadi jambatan penyambung urusan malah juga saluran antara rakyat dengan agensi-agensi berwajib yang disediakan oleh kerajaan.

“Ruang dan peluang ini diaplikasi oleh UMNO di sini agar rakyat mendapat kemudahan terbaik dan masa depan yang lebih terjamin,” katanya selepas berlangsungnya program yang diadakan di Dewan Tun Mustapha, di sini, semalam.

Dimaklumkan, untuk program ini, sebanyak RM2,500 adalah sumbangan ikhlas dari UMNO Bahagian Lahad Datu kepada seramai 500 ahli yang telah mendaftar sebagai pencarum KWSP pertama kali.

Jelas Sharif Musa yang juga Penasihat Giat MARA Bahagian Lahad Datu, program tersebut dilaksana secara terancang dan melibatkan pelbagai pihak dengan kerjasama mantap termasuklah dari jawatankuasa UMNO Bahagian Lahad Datu, agensi-agensi kerajaan dan orang ramai.

“Sebelum ini seramai 500 orang telah mendaftar di pejabat UMNO Bahagian Lahad Datu dan mereka inilah yang hadir dalam program tersebut.

“Apa yang pasti, UMNO mahukan keselesaan dan kesejahteraan terus dikecapi rakyat dalam apa-apa juga keadaan malah mempunyai tabungan tetap apabila berusia emas nanti dan tidak lagi mampu bekerja.”

Dalam program ini juga, sumbangan kepada golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan juga dibuat.

“Tidak lupa juga kepada golongan asnaf seramai 50 orang menerima bakul makanan dan wang tunai.

“Semoga setiap sumbangan dan usaha yang dilakukan oleh UMNO akan dapat memberi manfaat sebaiknya kepada penerima malah memberikan keceriaan kepada mereka dalam mendepani apa-apa cabaran kehidupan.”

Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepda semua pihak yang telah menjayakan program tersebut.

“Terima kasih kepada pegawai-pegawai KWSP, KEMAS, GiatMARA, Kolej Komuniti, dan Jabatan Perangkaan yang turut hadir memberi penerangan bagi segala kemudahan yang telah kerajaan sediakan kepada perserta,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit