Puteri UMNO Semporna Sedia Lengkapkan Diri Kuasa Pelbagai Ilmu, Manfaat Perjuangan Parti

SEMPORNA, 6 Mac – Anggota Puteri UMNO perlu melengkapkan diri dengan menguasai pelbagai bidang ilmu bukan sahaja berkenaan politik kepimpinan tapi juga perlu mempunyai nilai tambah dengan memanfaatkan perjuangan parti sebagai platform utama.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Semporna, Sabriah Abdul San berkata, bagi mendepani era dunia tanpa sempadan dan seiring dengan cabaran revolusi industri terkini ternyata teknik komunikasi menjadi salah satu kewajipan untuk dikuasai oleh sayap parti itu.

Menurut beliau, bagi menyahut dasar serta perjuangan UMNO, anggota Puteri perlu menyumbang kepada masyarakat dalam penyebaran maklumat yang berkesan dan ia hanya dapat terlaksana sekiranya anggota terbabit mampu menguasai teknik komunikasi dengan ampuh dan berkesan.

“Satu daripada kemahiran komunikasi yang perlu dikuasai oleh anggota Puteri ialah kemahiran berucap di khalayak ramai atau pengucapan awam yang berkesan untuk disampaikan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Kursus Pengucapan Awam bertempat di Dewan Zee Boutique di sini, baru-baru ini.

Kursus tersebut dianjurkan oleh Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Semporna dengan kerjasama daripada Akademik Minda Malaysia (AMAL) yang diketuai oleh bekas Setiausaha UMNO Bahagian Semporna, Mohd Syam Mohd Muksan.

Kursus terbabit telah dirasmikan oleh Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sabah, Ummi Nabilah Jamal.

Menurut Sabriah lagi pengucapan awam penting terutamanya dari segi penyebaran maklumat, membimbing, memberi pengajaran dan untuk mempengaruhi orang lain.

“Sebagai pemimpin barisan hadapan yang berhadapan dengan rakyat, penguasaan pengucapan awam yang berkesan perlu ada pada anggota Puteri, justeru melalui kursus ini diharapkan dapat membantu peserta (ahli puteri) mempelajari teknik pengucapan awam yang berkesan,” tambah Sabriah. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit