Ucaptama Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 – Transformasi Ekonomi Bumiputera

UCAPTAMA: YAB DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH
SEMPENA: KONGRES EKONOMI BUMIPUTERA 2024 (TRANSFORMASI EKONOMI BUMIPUTERA)

TARIKH: 29 FEBRUARI 2024 TEMPAT: PICC, PUTRAJAYA
*************************************************


Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

MUKADDIMAH

1. Mengawali bicara pagi ini, izinkan saya untuk merakamkan rasa keterjuaan kerana dapat bersama-sama dalam peristiwa penting perjalanan perjuangan umat Bumiputera. Lebih menyentuh nurani saya, Kongres kali ini dianjurkan oleh Kerajaan ekoran lontaran cadangan yang dibuat semasa Perhimpunan Agung UMNO pada Jun 2023 yang lalu. Ini mengingatkan kita kepada Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama juga diadakan hasil daripada cetusan pemikiran UMNO pada ketika itu.

2. Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, adalah merupakan kesinambungan beberapa siri KEB yang telah dianjurkan sejak kali pertama pada 5 hingga 7 Jun 1965. Ia disusuli dengan KEB kedua pada 7 hingga 9 September 1968. Keduadua kongres ini telah menggariskan gagasan-gagasan besar haluan negara yang menyaksikan Malaysia seperti mana yang kita nikmati pada hari ini.

3. Melalui kongres yang dianjurkan, kita bukan sahaja menyaksikan penubuhan agensi-agensi bermatlamatkan mengangkat agenda Bumiputera, tetapi turut melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang membawa kepada kestabilan politik dan pengagihan kek ekonomi negara yang lebih adil untuk semua kaum.

4. Melalui kongres yang penah dianjurkan, selain DEB, negara juga dicorak melalui matlamat dan gagasan seperti Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera, Model Ekonomi Baharu dan Tindakan Pembangunan Bumputera 2030.

5. Bagi Kongres Ekonomi Bumiputera kali ini, ia bagaikan sireh pulang ke gagang. Manakan tidaknya, KEB pertama dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Kini ia dikendalikan oleh Kementerian yang sama, cuma berbeza pada namanya iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, yang turut dilaksanakan bersama oleh Kementerian Ekonomi. Jika KEB pertama dan kedua melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), saya suka mengetengahkan cadangan bagi KEB kali ini untuk kita melaksanakan Transformasi Ekonomi Bumiputera atau TEB sebagai satu dasar untuk mengorak langkah ke hadapan.

6. Transformasi Ekonomi Bumiputera ini saya gariskan mempunyai tiga matlamat utama yang perlu kita sama-sama capai iaitu: Pertama : Keadilan Sosio-Ekonomi; Kedua : Kemampanan Negara Bangsa; dan Ketiga : Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat

7. Ketiga-tiga matlamat utama ini bagi memastikan, dasar dan pelaksanaan agenda ekonomi negara, bukan sahaja menjamin penglibatan dan hak Bumiputera tetapi pada masa yang sama memastikan wujudnya kesalingan atau synergy dengan bukan Bumiputera.

8. Mahu atau tidak, rela atau tidak, kesalingan antara kaum amat penting dalam memugar aktiviti ekonomi negara. Bertitik tolak daripada hasrat DEB yang tidak mahu lagi aktiviti ekonomi dikaitkan dengan identiti kaum, hari ini tembok itu telah pun berjaya diruntuhkan. Kaum Bumiputera tidak lagi sinonim dengan usaha tani, Cina bukan lagi mendominasi gelaran saudagar begitu juga dengan kaum India, tidak lagi berlegar di perladangan.

9. Atas semangat ini, tiga matlamat utama yang digariskan, menuntut semua kaum bahu membahu membangunkan negara. Menghormati agihan yang adil di samping menerima hakikat, usaha memartabatkan penyertaan Bumiputera dalam semua sektor ekonomi adalah dalam kerangka Perlembagaan Negara.

10. Ia juga bagi memadamkan penceritaan ekonomi negara dikuasai oleh kumpulan minoriti, yang tentunya mengundang resah kaum majoriti, dan pada akhirnya mewujudkan kesenjangan sosial. Keadaan sebegini tentunya tidak sihat bagi sebuah negara yang telah melebihi enam dekad dibangunkan secara bersama.

Sidang kongres yang dikasihi sekalian,

MATLAMAT 1: KEADILAN SOSIO-EKONOMI

11. Transformasi Ekonomi Bumiputera merupakan satu dasar baharu yang progresif bertujuan untuk merapatkan jurang sosioekonomi di kalangan rakyat Malaysia. Melalui Tranfosrmasi ini, kita mahu memastikan penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam sektor ekonomi dapat diperkasakan. Malah ia juga bertujuan memastikan Bumiputera tidak ketinggalan dalam menyertai peluang-peluang ekonomi dan teknologi baharu, di samping turut serta membesarkan kek ekonomi negara.

12. Dalam aspek pendidikan, kini masanya untuk kita memecahkan belenggu pemikiran kalangan Bumiputera bahawa bidang kemahiran bukanlah pilihan kedua tetapi sebaliknya menjadi pilihan utama industri. Memperkasa modal insan melalui bidang kemahiran juga penting bagi mempersiapkan generasi Bumiputera sebagai tenaga kerja yang kompeten untuk bersaing di pasaran buruh yang semakin kompleks.

13. Pada masa yang sama usaha ini diyakini mampu meningkatkan peratusan pekerja mahir Bumiputera yang kini berada pada tahap 29.1% berbanding kaum-kaum lain. Ia sudah tentu menjamin akses terhadap pekerjaan yang memberikan pendapatan yang lebih munasabah dan stabil di dalam meningkatkan taraf hidup mereka.

14. Dalam soal pemilikan pula, Bumiputera masih belum mencapai tahap pemilikan yang memuaskan dalam kalangan syarikat korporat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Ini mungkin berpunca daripada terbatasnya akses kepada pembiayaan dan pendanaan bagi memula atau memperluaskan perniagaan. Kita berharap inisiatif-inisiatif melalui dasar afirmatif sedia ada, perlu diperkemaskan agar tahap penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dapat dipertingkatkan.

15. Dengan Transformasi Ekonomi Bumiputera kita akan terus memastikan peranan agensi-agensi amanah Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Tabung Haji serta lain-lain akan lebih terkehadapan dalam pengupayaan Bumiputera bagi semua sektor perekonomian.

16. Apabila menyebut tentang MARA, kita ingin mengucapkan selamat menyambut ulang tahun penubuhan ke-58 yang kebetulan jatuh pada hari esok, 1 Mac. Alhamdulillah kita berhimpunan hari ini bertepatan dengan tarikh lahirnya MARA pada 1 Mac 1966 daripada rahim Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama.

17. Dengan kita memberikan fokus serta memperkemaskan inisiatif sedia ada, Transformasi Ekonomi Bumiputera diyakini mampu mengatasi cabarancabaran sosioekonomi yang dihadapi dan membuka pintu ke jalan kemajuan yang lebih luas bagi setiap lapisan masyarakat.

18. Saya suka mengimbau pengalaman 48 tahun lalu semasa saya bertugas di sebuah bank komersil yang berpengkalan di luar negara. Gabenor Bank Negara pada ketika itu telah mengarahkan laporan bulanan mengenai status pembiayaan dan penyertaan Bumiputera (berapa ramai pekerja Bumiputera, pelanggan Bumiputera, peminjam Bumiputera) dalam sektor perbankan, dibuat. Begitulah komitmen pada ketika itu untuk memastikan agenda Bumiputera dilaksanakan oleh sektor perbankan.

19. Sehubungan itu bagi memastikan semua usaha pengupayaan Bumiputera baik diperingkat Kementerian, agensi, GLC dan GLIC dilaksanakan dengan berkesan, saya suka mengusulkan MARA perlu diperkasakan dengan tanggungjawab penyelarasan, pemantauan dan penilaian di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera. Serentak itu juga, Unit Pemerkasaan Bumiputera di Kementerian, Agensi, GLC dan GLIC perlu diaktifkan semula agar penyelarasan, pemantauan dan penilaian dapat dijalankan dengan berkesan.

MATLAMAT 2: KEMAMPANAN NEGARA BANGSA

20. Dalam perjalanan kita untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera, kita tidak boleh mengabaikan kekuatan pokok yang membentuk asas kemampanan negara bangsa, iaitu kekuatan dalam pemeliharaan kesatuan dan kesepaduan, kestabilan politik dan struktur sosial yang teguh.

21. KEB 2024 mesti dijadikan medan untuk kita meningkatkan keupayaan ekonomi Bumiputera agar lebih dinamik dan berani beradaptasi dengan 8 perubahan yang tidak menentu dalam pasaran kewangan, ketidak pastian global, konflik regional dan geopolitik, inflasi, pandemik dan lain-lain cabaran agar Bumiputera mempunyai ketahanan (resilient) serta kemampuan untuk terus bersaing.

22. Transformasi Ekonomi Bumiputera mestilah dijadikan satu dasar besar yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi Bumiputera dan menarik pelaburan agar kita dapat membina landasan ekonomi yang kukuh untuk kemampanan jangka panjang.

23. Kita mesti berani mencipta kekuatan dalam menjalin hubungan luar melalui promosi dan diplomasi perdagangan serta kerjasama antarabangsa. Langkah ini mampu membuka pintu peluang yang lebih luas dan membina jambatan kesejahteraan bersama di peringkat global. Janganlah kita hanya berlegar di arena domestik tetapi gapailah pasaran sejagat yang mempunyai potensi nilai pasaran melebihi 5 trilion dollar Amerika menjelang tahun 2030.

24. Saya percaya, akhirnya dengan dasar Transformasi Ekonomi Bumiputera ini, kita tidak hanya memperkasakan ekonomi Bumiputera tetapi juga membina kemampanan bagi negara bangsa.

25. Peranan kaum wanita juga menjadi elemen penting sebagai suatu kekuatan yang mendukung pembangunan lebih seimbang dan berkeadilan. Keterlibatan dan pemerkasaan wanita bukan sahaja menjadi tuntutan masa kini. Sebaliknya wanita yang terlibat dalam pelbagai sektor dan peringkat kehidupan membawa sinergi yang tak ternilai kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial kita.

MATLAMAT 3: KEMAKMURAN NEGARA DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

26. Dasar Transformasi Ekonomi Bumiputera ini bukan sekadar satu usaha untuk memperkasa ekonomi. Ia adalah langkah inklusif yang membawa impak positif kepada kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Setiap langkah yang diambil untuk memperkasa ekonomi Bumiputera adalah sejajar dengan usaha ke arah pembangunan yang lebih merata dan mewujudkan landasan untuk pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

27. Hakikatnya, kemakmuran negara amat bergantung kepada pertumbuhan ekonomi. Melalui Transformasi Ekonomi Bumiputera, program sokongan dan pembiayaan yang disediakan tidak hanya membantu usahawan tetapi turut merangsang aktiviti dan melengkapi eko sistem ekonomi negara secara keseluruhan. Sudah pasti ia turut menyumbang kepada peningkatan KDNK negara di samping memberi peluang untuk pembangunan infrastruktur dan pelaburan dalam pelbagai sektor.

28. Manakala kesejahteraan rakyat pula amat dipengaruhi oleh ekonomi individu. Transformasi Ekonomi Bumiputera bukan hanya memberi fokus kepada inisiatif memperkasakan golongan korporat semata-mata tetapi juga berbicara tentang ekonomi rakyat biasa. KEB 2024 mesti mencari solusi untuk lebih ramai Bumiputera berpartisipasi dalam kegiatan keusahawanan. Berdikari di 10 dalam menjana pendapatan yang akhirnya akan membawa kepada peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

6 TEKAD PEMERKASAAN BUMIPUTERA

29. Atas komitmen untuk menjayakan tiga matlamat utama yang digariskan, bagi mencapai Transformasi Ekonomi Bumiputera ‘yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang’. Suka saya menggariskan enam tekad sebagai rukun bagi kita terus bergerak sederap untuk mencapai cita-cita yang diinginkan bersama.

TEKAD 1: MEMPERTAHANKAN AGENDA BUMIPUTERA

30. Tekad pertama, adalah untuk mempertahankan agenda Bumiputera sedia ada. Dasar dan inisiatif yang diperkenalkan termasuk soal pemilikan tanah, ekuiti perniagaan, pendidikan, peluang usaha, pekerjaan dan perbekalan, walaupun masih belum mencapai sasaran perlu terus diperkasakan. Contohnya pemilikan dan penguasaan dalam sektor korporat Bumiputera yang hanya berada pada tahap 17.2 peratus. Sungguhpun sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) sasaran 30 peratus telah ditetapkan, kita tidak boleh menghentikan usaha ini. Malah semua pihak yang terlibat dengan agenda Bumiputera harus mengambil tanggungjawab bersama. Kerajaan punya tanggungjawab. Agensi pelaksana perlu terus melaksanakan mandat dan tidak melupakan asas penubuhan mereka.

TEKAD 2: MENUTUP KETIRISAN PERLAKSANAAN

31. Serentak dengan itu, usaha menutup ketirisan pelaksanaan dasar dan inisiatif agenda Bumiputera menjadi tekad kedua yang perlu dipegang. Apabila disebut soal ketirisan semua pandangan menjurus kepada soal tatakelola. Namun tidak kurang juga ketirisan ini berlaku di peringkat pelaksana dan penerima yang mengambil jalan mudah untuk mencapai keuntungan cepat. Caranya dengan melepaskan pegangan Bumiputera yang pada akhirnya menjejaskan matlamat penguasaan dan penyertaan yang disasarkan.

TEKAD 3: MEWUJUDKAN KESETARAAN ANTARA WILAYAH, KAUM DAN KELOMPOK
32. Ketiga, dalam kita menjayakan matlamat Transformasi Ekonomi Bumiputera, kita mesti bertekad untuk mewujudkan kesetaraan antara wilayah, kaum dan kelompok. Keseimbangan peluang perlu diagihkan antara wilayah Semenanjung, Sarawak dan Sabah, kaum dan juga kelompok-kelompok masyarakat. Langkah ini akan dapat memastikan pemerkasaan agenda Bumiputera lebih merata dan pada masa yang sama rantaian peluang ini juga memberikan limpahan serta manfaat kepada kaum-kaum lain dan kelompok masyarakat dalam kaum-kaum di negara ini.

33. Saya percaya, melalui pelaksanaan dasar-dasar yang adil dan inklusif, kita akan berupaya membangunkan berbagai inisiatif baru yang dapat mengurangkan jurang sosial dan ekonomi merentas wilayah, kaum dan kelompok dalam masyarakat.

TEKAD 4: MENGENALPASTI PELUANG BAHARU

34. Tekad keempat perlulah memberi tumpuan kepada mengenalpasti peluang dan perkembangan ekonomi baharu masa hadapan. Ia merupakan proses penting dalam merancang strategi yang mampu mendepani derasnya perubahan-perubahan teknologi, model perniagaan dan gaya hidup masa hadapan . Tumpuan kepada tekad ini perlulah melibatkan analisis terhadap trend dan faktor-faktor yang mempengaruhi kegiatan ekonomi dan keperluan industri seperti inovasi teknologi berasaskan Industrial Revolution 4.0, teknologi Artificial Intelligent (AI) dan teknologi digital serta automasi.

TEKAD 5: MEWUJUDKAN JALINAN TULEN

35. Bagi tekad kelima pula kita mestilah mewujudkan jalinan tulen ekonomi Bumiputera dan bukan Bumiputera. Dalam konteks inklusif, sejak DEB diperkenalkan hingga ke hari ini kerjasama ekonomi di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera telah wujud. Namun sebahagian jalinan ini masih boleh dipertikaikan ketulenannya. Melalui Transformasi Ekonomi Bumiputera, kita tidak mahu lagi wujudnya aktiviti ekonomi hanya atas nama Bumiputera sahaja. Kita mahu Ali dan Baba yang benar-benar berfungsi melaksanakan 13 aktiviti perniagaan. Ali dan Baba terlibat dengan pengurusan, pentadbiran dan pelaksanaan perniagaan.

36. Bukannya ‘Ali Baba’ yang memanipulasi peluang dan mengambil jalan mudah mengaut keuntungan. Tindakan seumpama ini pada akhirnya menyukarkan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan penguasaan Bumiputera dalam sektor ekonomi. Selain itu, tindakan kelompok Bumiputera sebegini tidak mencerminkan bentuk kekayaan dan pemilikan sebenar.

TEKAD 6: MENJAMIN TIDAK MEMINGGIRKAN KAUM LAIN

37. Tekad keenam adalah menjamin untuk tidak meminggirkan atau menafikan hak kaum lain. Tekad ini bagi mewujudkan keadilan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Kita telah menyaksikan sejak pelaksanaan KEB yang pertama pada tahun 1965 dan diikuti beberapa penganjuran seterusnya sehingga kini, pelaksaannya turut mengangkat dasar-dasar yang menghormati hak semua kaum, termasuk dalam akses kepada peluang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan lain. Sejarah telah membuktikan bahawa usaha Kerajaan memperkasa Bumiputera tidak sesekali menyebabkan mana-mana kaum lain di negara ini terpinggir. Begitu juga dengan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera ini, hak pelbagai kaum akan terus dijamin.

Saudara saudari peserta Kongres sekalian

14 IKHTIAR PEMERKASAAN BUMIPUTERA

38. Setelah saya menggariskan tiga matlamat utama dan enam tekad Transformasi Ekonomi Bumiputera, izinkan saya untuk melontarkan tiga Ikthiar Pemerkasaan Bumiputera. Tiga ikhtiar ini saya percaya akan menjadi sebahagian daripada usaha-usaha lain yang bakal digarap sepanjang tempoh kongres ini.

39. Ikhtiar ini saya fikirkan mampu melonjakkan agenda pemerkasaan Bumiputera menjelang usia satu abad negara merdeka.

IKHTIAR PERTAMA: PERBADANAN TANAH BUMIPUTERA
40. Bagi mengekalkan pemilikan tanah Bumiputera yang menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan pemeliharaan identiti kebangsaan, saya menganjurkan agar diwujudkan Perbadanan Tanah Bumiputera. Perbadanan ini bertanggungjawab untuk merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah Bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan.
41. Adalah disyorkan, semua tanah-tanah berstatus pajakan melebihi 50 ekar bagi kawasan pertanian ataupun plot-plot industri yang melebihi 20 ekar, apabila sampai tempoh tamat pajakan dan dipohon untuk penyambungan, 20 peratus daripada tanah berkenaan hendaklah diserahkan semula kepada Kerajaan dan diurustadbir melalui perbadanan ini

42. Penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera merupakan langkah proaktif untuk menjamin: i. keseimbangan demografi kaum; ii. mewujudkan kelangsungan kawasan usaha Bumiputera bagi tujuan pertanian, perindustrian dan penempatan baharu; dan iii. usaha tambahan mengekalkan pemilikan Bumiputera

43. Langkah ini saya percaya dapat memberi pulangan dan peluang yang lebih besar kepada Bumiputera untuk memiliki sebahagian daripada aset tanah negara. Melalui perancangan teliti dan strategik, setiap kawasan usaha diharapkan memberi manfaat maksimum kepada komuniti Bumiputera, mencipta kelestarian ekonomi yang berterusan.

IKHTIAR KEDUA WAQAF KESIHATAN DAN PENDIDIKAN
44. Saya yakin yang hadir ke Kongres Ekonomi Bumiputera ini sudah pastinya prihatin mengenai masa depan Bumiputera dan menyimpan iltizam untuk sama-sama menyumbang kepada sebarang usaha memperkasakan agenda Bumiputera.

45. Justeru, ikhtiar kedua yang ingin saya usulkan adalah mengenai Waqaf Kesihatan dan Pendidikan Bumiputera yang akan menjamin perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang berterusan kepada Bumiputera. Ikhtiar ini juga sebagai usaha untuk mendepani isu-isu kenaikan kos perkhidmatan kesihatan dan pendidikan kepada golongan seperti asnaf, warga emas dan kumpulan sasar yang terjejas.

46. Bagi menterjemahkan ikhtiar ini, satu Pelan Waqaf Sihat dan Didik Bumiputera (SIDIK) dicadangkan yang bertujuan untuk:

i. Menyediakan fasiliti, peralatan dan perkhidmatan kesihatan seperti pusat dan mesin Hemodialisis, khidmat penjagaan kesihatan warga emas dan sebagainya;
ii. Pembiayaan rawatan bagi penyakit kronik;
iii. Pemerkasaan institusi pendidikan dan pusat latihan Bumiputera;
iv. Pendanaan Biasiswa untuk anak-anak Bumiputera;
v. Memperkasa program perkembangan kemahiran untuk meningkatkan keboleh pasaran tenaga kerja Bumiputera

47. Marilah kita mengambil tanggungjawab bersama dalam membantu dan menyumbang di dalam menyediakan sumber tambahan melalui amalan berwaqaf untuk menjalankan program pembangunan pendidikan, kesihatan mahupun kebajikan.

48. Demi kesejahteraan Bumiputera saya menganjurkan sistem caruman daripada syarikat-syarikat GLC, GLIC, Yayasan Badan Amanah dan orang perseorangan untuk bersama menjayakannya. Semoga ini menjadi asbab yang mengundang keberkahan daripada Allah S.W.T.

IKHTIAR KETIGA – MENGINDUSTRIKAN PERTANIAN
49. Syor untuk mengindustrikan pertanian adalah bertujuan untuk melibatkan Bumiputera dalam sektor pertanian tanaman makanan yang berskala besar, serta dapat menjamin pengeluaran sumber makanan negara.

50. Saya mengambil contoh kejayaan FELDA dan FELCRA dalam membangun dan memajukan pertanian tanaman komoditi, yang telah menjadikan negara kita antara pengeksport kelapa sawit dan getah terbesar dunia.

51. Kita sedar sebahagian masyarakat Bumiputera tidak mempunyai tanah yang begitu besar, keluasannya juga mungkin tidak ekonomikal di samping kekangan kewangan untuk mengusahakannya. Namun, sekiranya tanahtanah ini dapat disatukan dan dibangunkan secara skala besar, pastinya setiap pemilik tanah dapat memperolehi manfaat yang berterusan disamping membantu meningkatkan sosio-ekonomi setempat.

52. Bagi menjayakannya, saya mencadangkan penubuhan sebuah entiti yang dapat memainkan peranan untuk mendana-i dan membangunkan tanahtanah Bumiputera atau tanah-tanah berkelompok milik Bumiputera yang berpotensi untuk diusahakan dengan tanaman makanan.

53. Melalui ikhtiar ini, kita juga perlu menggunakan teknologi dan inovasi baharu bagi meningkatkan hasil tanaman. Pastinya pengaplikasian teknologi moden dalam pertanian memerlukan kos dan pendanaan yang tinggi bagi menjayakannya. Dengan wujudnya sebuah entiti yang memberi tumpuan khusus kepada sektor ini, usaha pendanaan, kajian dan inovasi dapat dilakukan secara berstruktur untuk meningkatkan pengeluaran hasil.

54. Pengeluaran hasil berskala besar dan penggunaan teknologi, membolehkan penghasilan kepelbagaian produk hiliran pertanian yang mempunyai nilai tambah dan boleh dipasarkan secara komersial serta membawa keuntungan yang berganda.

55. Saya percaya, melalui pendekatan yang sama, dalam tempoh beberapa tahun ke hadapan, pengeluaran hasil pertanian makanan dalam negara akan dapat menampung keperluan domestik selaras dengan usaha keterjaminan makanan. Malah kita juga In-Sha Allah berupaya menjadi negara pengeksport hasil pertanian sepertimana hasil komoditi kelapa sawit dan getah.

Saudara saudari peserta Kongres

MENGUBAH DESTINI BUMIPUTERA

56. Barang sudah pasti sepanjang kongres tiga hari ini dan siri-siri libat urus yang telah diadakan sebelum ini, kita mendengar pelbagai masalah dan kelemahan Bumiputera telah dan akan dibangkitkan. Sementara kita mengakui kelemahan baik di peringkat Kerajaan mahupun pelaksanaan, apa yang lebih penting ialah bagaimana kita mahu bergerak ke hadapan.

57. Kesilapan dan kelemahan dahulu, adalah suatu pengajaran. Menangisi atau meratapi bukanlah jawapannya. Sebaliknya bangkit semula daripada kelemahan dan kesilapan lalu dengan tekad yang baharu, adalah semangat yang sepatutnya diangkat melalui Kongres kali ini.

58. Kita tidak perlu “apologetic” untuk membicarakan agenda-agenda besar Bumiputera kerana kita tidak pernah meminggirkan atau menindas hak kaumkaum lain. Malah santunnya bumiputera sentiasa menghormati kontrak sosial yang menjadi asas keharmonian negara.

59. Seperti yang pernah diungkapkan oleh Almarhum Tun Abdul Razak semasa merasmikan penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama tahun 1965 saya petik “Kemajuan sesuatu bangsa itu bukanlah dalam tangan kerajaan bahkan bukanlah dalam tangan Menteri, tetapi ialah dalam tangan, dalam nadi dan titik peluh tiap-tiap orang rakyat negara ini. Oleh itu kalau kita semua ada mempunyai keazaman: semangat dan jiwa ingin kepada kemajuan, semangat dan jiwa berani dan bersedia bekerja, berkorban dan bertenaga, dengan berkat Tuhan kemajuan kemajuan akan tercapai – Tun Abdul Razak KEB 7 Jun 1965.

60. Sehubungan itu, ayuh kita semua – kerajaan, agensi pelaksana, pemimpin, para cendiakawan, profesional dan rakyat dengan tiga matlamat utama, enam tekad dan tiga ikhtiar pemerkasaan, sejujur dan sedayanya menjadikan Transformasi Ekonomi Bumiputera:
• Tali yang menyatukan simpulan iltizam kita.
• Jambatan untuk anak bangsa kita menyeberangi masa hadapan dengan penuh keyakinan.
• Pelantar kukuh untuk kita berdiri sama tinggi sebagai sebuah bangsa Malaysia.

Pantun:
Anak kecil main api
Gundahnya hati bila didendang
Tekad dan usaha jangan berhenti
Kuatkan semangat bukan kepalang

Sekawan serati bersama angsa
Berenang di tasik tanjong bidara
Walau ditangis nasibnya bangsa
Patah sayap ku usahakan jua

Sekian wabillahi taufik wal hidadayah wassalamualaikum waramahatullahi wabarakatuh

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.