Parlimen: Parit Sulong Cadang Rokok Elektronik Tidak Dijual Di Platform Atas Talian, Secara Terbuka

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mencadangkan kepada pihak Kementerian Kesihatan agar rokok elektronik tidak dijual di platform atas talian dan secara terbuka.

Ini kerana katanya, sejak pengenalan produk rokok elektronik, negara mengalami beban berganda berbanding daripada penggunaan rokok konvensional.

“Sejak pengenalan produk rokok elektronik, negara telah mengalami beban berganda berbanding beban yang ditanggung kesan daripada penggunaan rokok konvensional.

“Berdasarkan pelaporan NHMS 2019, peningkatan yang amat ketara besar berlaku bagi pengguna rokok elektronik berumur 15 tahun dan keatas serta remaja berusia 13 tahun hingga 17 tahun.

“Sejak tahun 2017 hingga tahun 2023, kadar pengguna rokok elektronik dalam kalangan remaja telah meningkat mendadak daripada 9.8 kepada 14.9 peratus. Angka ini amat mencemaskan malah kesan daripada penggunaan rokok elektronik ini akan mengakibatkan beban kos rawatan kesihatan negara akan meningkat berganda pada masa akan datang,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.

Jelasnya, meskipun banyak kajian telah membuktikan bahawa jangka hayat perokok secara relatifnya rendah, namun ia langsung tidak menurunkan peratusan merokok dalam kalangan rakyat.

“Jadi pada hari ini, kita berdiri di sini dengan tujuan untuk menghalang beban ini terus membarah dalam kalangan masyarakat khususnya remaja. Walaupun begitu, banyak kajian telah membuktikan bahawa jangka hayat perokok secara relatifnya lebih rendah.

“Ia langsung tidak menurunkan peratusan merokok dalam kalangan rakyat bahkan peratusan tersebut kekal akibat penambahan perokok baharu dalam kalangan remaja. Rang Undang-Undang (RUU) November 2023 ini saya lihat masih lagi mengekalkan bentuk kawal selia yang telah dibentangkan pada Jun 2023 lalu.

“Antara yang dikekalkan adalah kawal selia pendaftaran, pengiklanan, pembungkusan. Namun begitu bagi kawal selia penjualan dan pembelian serta kawal selia terhadap penggunaan yang difikirkan munasabah oleh jawatankuasa khas,” katanya lagi.

Menurutnya pengguguran Fasal 7(2) dan Fasal 9(1) dilihat bercanggah dengan pendekatan yang diambil daripada rokok konvensional.

“Apa yang menggusarkan saya adalah pengguguran Fasal 7(2) dan Fasal 9(1) yang menetapkan larangan untuk menerbitkan apa-apa iklan peranti rokok dan larangan untuk mempromosi dan menaja produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

“Saya lihat pelaksanaan ini amat bercanggah dengan pendekatan yang diambil daripada rokok konvensional. Soalan saya kepada pihak kementerian adalah mengapa ianya digugurkan? Nampak seolahnya ‘double standard’ kerana rokok konvensional tidak boleh diiklankan secara komersial tetapi larangan bagi rokok peranti kenapa pula digugurkan?

“Adalah menjadi kebimbangan saya peranti kini dijual secara terbuka di platform online. Ini adalah secara tidak langsung perbuatan mempromosi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa dengan berlakunya pengguguran fasal tersebut maka kerajaan tidak akan dapat mengawal penjualan rokok elektronik yang semakin berleluasa.

“Seterusnya, dengan pengguguran fasal yang disebutkan tadi juga, kita tidak akan dapat mengawal penjualan rokok elektronik yang kini telah dijual berleluasa secara online tanpa kawalan.

“Jadi soalan saya, bagaimana kerajaan akan memastikan peranti-peranti rokok yang dijual di platform atas talian tidak akan dibeli oleh Orang Bukan Dewasa (OBD)? Ini kerana platform atas talian tidak memerlukan sebarang ID pengguna, sama ada mereka masih bawah umur atau OBD, penjual tidak akan tahu. Jadi disitu akan wujudnya ‘ethical issue’.

“Bagaimana kerajaan boleh mendakwa seorang penjual rokok elektronik yang menjual di platform atas talian? Saya mahukan penjelasan daripada kementerian dan kementerian perlu meletakkan peruntukan satu kawalan standard produk peranti rokok yang djual secara atas talian. Ini kerana penjualan peranti ini jauh berbeza dengan rokok konvensional yang hanya boleh didapati di kaunter kedai,” katanya lagi.

Akhir sekali, beliau turut memaklumkan pendirian beliau menyokong RUU Produk Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Mungkin saya boleh mencadangkan selepas ini rokok elektronik juga tidak boleh dijual di platform atas talian dan terbuka.

“Jadi, saya mohon agar satu semakan ke atas penjual atas talian peranti rokok ini dapat diberi perhatian secara serius supaya anak-anak remaja kita akan terus kekal dilindungi.

“Walaubagaimana pun, saya dengan ini menyokong RUU Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit