Kebimbangan Terhadap Keanggotaan Koperasi Dalam Kalangan Orang Muda… Shahar Dapatkan Penjelasan Dalam Parlimen

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah hari ini bertanya berkenaan komitmen kerajaan bagi memperkasa koperasi di seluruh negara.

Katanya ini meliputi bantuan kewangan dan juga keanggotaan baharu dalam orang muda sebagai pelapis.

“Saya lihat koperasi sebagai contoh di Paya Besar yang dahulunya bagus prestasi di awal penubuhan tetapi dah masuk pertengahan sampai ke hujung keanggotaan itu sudah tua mereka sudah berumur.

“Apakah langkah kerajaan untuk peremajaan koperasi ini ditekankan supaya mereka dapat melihat dan menjangka ekonomi masa hadapan yang akhirnya menguntungkan masyarakat bawahan?” katanya.

Mohd Shahar bertanya demikian kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab kepada persoalan itu Saraswathy berkata Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sentiasa mengalakkan koperasi menerima ahli-ahli muda atau anak kepada ahli sedia ada supaya meremajakan koperasi bagi kekal relevan dan juga berfungsi dengan efektif.

“Kementerian telah membangunkan Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030 bagi memperbaharui hala tuju gerakan koperasi di malaysia untuk mengikut perkembangan arus perdana agar lebih berdaya saing dan daya tahan.

“Melalui DaKoM, penekanan akan diberikan terhadap aktiviti yang menjurus kepada meningkatkan penyertaan aktif koperasi dalam industri nilai tinggi yang mana memerlukan anggota-anggota muda untuk menganggotai koperasi.

“Ianya juga melalui aplikasi teknologi ke arah meningkatkan produktiviti mengadaptasi kelestarian alam sekitar dan amalan kemampanan mengukuhkan amalan kemampanan serta menyediakan koperasi bertaraf global,” ujar beliau.

Menyentuh berkenaan pinjaman pembiayaan, beliau memaklumkan bahawa koperasi mempunyai masalah dalam mendapatkan bantuan kewangan daripada institusi kewangan.

“Institusi kewangan tidak mengiktiraf koperasi sebagai satu entiti lagi, sebab itu modal pusingan yang dihulurkan oleh SKM itu adalah amat penting untuk koperasi dapat meningkatkan taraf keberkesanan dalam sesuatu bidang yang mereka ceburi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit