Kementerian Kerja Raya Prihatin Pengguna Lebuh Raya, Utamakan Keselamatan – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 26 Okt – Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa prihatin terhadap keselamatan pengguna lebuh raya dan telah mengarahkan Syarikat Konsesi Lebuhraya untuk membuat rondaan dengan lebih kerap bagi memastikan tiada objek atau halangan yang terdapat di atas lebuhraya termasuk serpihan tayar lori demi keselematan pengguna.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dalam sesi pertanyaan menteri di parlimen semalam menjelaskan, serpihan tayar lori yang berada di lebuh raya adalah berpunca daripada kegunaan tayar celup yang tidak mematuhi piawaian, mudah pecah dan tertanggal yang kebanyakannya digunakan lori bermuatan berat untuk perjalanan jauh.
“Selain itu, perkara-perkara berikut juga dilaksanakan oleh syarikat konsesi antaranya rondaan rutin oleh pasukan ronda dilaksanakan mengikut pusingan (looping) yang ditetapkan. Seterusnya pemantauan lebuh raya turut dilakukan melalui CCTV yang terdapat di beberapa lokasi tertentu dan diselia oleh pusat kawalan trafik konsesi yang beroperasi 24 jam sehari.
“Sekiranya terdapat objek atau serpihan tayar yang menghalang lalu lintas, operator di pusat kawalan trafik konsesi akan memaklumkan kepada pasukan peronda lebuh raya untuk melakukan kerja pembersihan dengan segera. Sesi perbincangan dengan pihak JPJ juga diadakan secara berkala bagi penyelesaian penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi piawaian, mudah pecah dan tertanggal,” katanya.
Abdul Rahman menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang meminta kerajaan menyatakan langkah dilakukan pengendali lebuh raya untuk memastikan keselamatan pengguna daripada risiko kemalangan yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa, kerosakan kenderaan dan kecederaan pengguna akibat keberadaan objek seperti serpihan tayar lori di atas jalan raya.
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis seterusnya menambah syarikat konsesi juga melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan lebuh raya secara berkala bagi memastikan lebuh raya bersih daripada sampah sarap dan selamat digunakan.
“Pengguna-pengguna juga digalakkan untuk membuat aduan halangan atau kerosakan lalu lintas dengan menghubungi talian Hotline lebuh raya yang terlibat,” ujarnya. – UMNO Online