Kemenangan BN Bukti Pengundi Mahu Kerajaan Stabil, Pastikan Kebajikan Terbela – Noraini
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Wanita UMNO Malaysia mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam di atas kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.
Kata ketuanya, Datuk Noraini Ahmad, kemenangan dengan majoriti selesa ini membuktikan bahawa para pengundi di DUN Pelangai mahu kerajaan negeri Pahang yang diterajui oleh Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ini terus stabil dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
“Kemenangan ini juga membuktikan formula kerjasama di antara partiparti di dalam Kerajaan Perpaduan diakui dan diterima oleh rakyat.
“Terima kasih kepada seluruh pengundi DUN Pelangai yang terus memberi sokongan dan kepercayaan kepada calon Barisan Nasional untuk memberikan khidmat bakti kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan bersempena kemenangan BN semalam.
Dalam masa yang sama, katanya, Wanita UMNO Malaysia juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh jentera parti Kerajaan Perpaduan yang telah bertungkus lumus berkempen untuk memastikan kemenangan ini.
Calon BN), Amizar memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Pelangai, sekali gus mempertahankan kerusi yang dimenangi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) lalu dengan undi berjumlah 7,324 undi.
PRK berkenaan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Amizar, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.
PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas. – UMNO Online