PRK Pelangai Pengalaman Berharga – Pengundi

BENTONG, 7 Okt – Hari ini seramai 16,456 pengundi berhak menunaikan tanggungjawab mereka untuk pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bagi memilih wakil rakyat baharu.

Proses pengundian bermula 8 pagi hingga 6 petang ini, sebanyak sembilan pusat mengundi biasa membabitkan 30 saluran dibuka, sebelum proses penjumlahan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini.

Bagi Ruhaizam A. Hamid, 47 beliau teruja apabila dapat mengundi sekali lagi walaupun pernah mengundi pada pilihan raya umum yang lalu.

“Saya teruja apabila dapat mengundi sekali lagi pada PRK ini kerana yakin calon yang menang ini akan melakukan satu perubahan seperti pembangunan dan insfrakstruktur di Pelangai.

“Saya percaya prestasi yang dibina oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dapat meningkatkan ekonomi negeri dan orang Felda yakin kemampuan beliau,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (LKTP) Kemasul, Felda Kemasul, hari ini di sini.

Bagi anak muda Nurul Aina Balqis Azman, 23, yang mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (LKTP) Felda Chemomoi, membuang undi pada PRK merupakan satu pengalaman yang cukup berharga.

“Saya gembira dapat menunaikan tanggungjawab hari ini. Pengalaman mengundi ini cukup berharga walaupun ada sedikit gementar dan saya pergi bersama ibu bapa di pusat mengundi.

“Saya percaya golongan muda perlu mempraktikkan hak mereka sebagai pengundi untuk memilih wakil rakyat yang akan membawa perubahan positif kepada kawasan Pelangai khususnya di Felda ini,” jelas beliau.

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan daripada 16,456 pengundi itu, seramai 36 adalah anggota polis manakala tiga lagi Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Seramai 312 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertugas bagi proses pengundian berkenaan yang membabitkan 16,456pengundi berdaftar. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit