Jentera BN Berkerja Secara Tersusun, Fokus Pastikan Kemenangan DUN Pelangai

BENTONG, 6 Okt – Berbaki beberapa jam tempoh berkempen, jentera Barisan Nasional (BN) telah berjumpa pengundi-pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dengan secara bersemuka, kata Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya tidak akan bersikap leka dan terlalu yakin untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu.

“Insya-Allah… dengan cara jentera-jentera BN berkerja dengan tersusun, berfokus dan semua pengundi sudah faham untuk mengekalkan kerusi DUN Pelangai ini adalah milik BN untuk kestabilan dan kemakmuran negara.

“Kita mahukan calon BN ini menang pada PRK serta mendapat mandat. Beliau boleh menunaikan janji Allahyarham Datuk Seri Johari Harun. Banyak rancangan yang tergendala dan rugi sekiranya rakyat Pelangai tidak mengundi calon BN.

“…dan kita pastikan jentera serta pengundi BN keluar mengundi dalam kadar 80 peratus. Kita perlu kerja bekerja dengan teratur dan semua petugas-petugas diminta menjaga lorong dan blok serta harus keluar awal menjalankan tugas masing-masing,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambah Ismail lagi semenjak Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Wan’ menjawat jawatan Menteri Besar Pahang, prestasi kerajaan negeri saban tahun meningkat malah hutang negeri dapat dihapuskan.

“Prestasi Kerajaan Negeri Pahang sangat baik yang dipimpin oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Banyak hutang negeri telah dihapuskan dan bukan itu sahaja… hasil kerajaan negeri dipulangkan pada rakyat seperti pendidikan, pembangunan dan anak bangsa negeri ini,” katanya.

Dalam masa yang sama Ismail berkata keprihatinan kerajaan merangkumi semua lapisan rakyat dan peringkat.

“Insya Allah… orang Felda sama ada peneroka asal, generasi pertama, kedua, ketiga sampai generasi baharu akan sedar bahawa ‘Tok Wan’ akan membantu meneruskan pembangunan untuk rakyat terutamanya di kampung luar bandar khususnya DUN Pelangai.

“Anak muda Felda, Tok Wan sudah menyebut skim tanah rakyat diluluskan untuk lot-lot perumahan bagi generasi baharu. Bagi yang tiada tanah akan diberikan tanah untuk buat rumah.

“Bukan sahaja buat rumah tapi prasarana terutamanya jalan, bekalan air dan elektrik akan disediakan tapi penyambungan rumah adalah tanggungjawab pemilik rumah,” jelas beliau yang juga berharap rakyat bersyukur atas nikmat yang telah diperolehi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit