Mahdzir Yakin Pelangai Terus Dipertahan, Kekal Milik BN
BENTONG, 6 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan menterjemahkan undi mereka kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam esok.
Ini kerana katanya, berdasarkan pertemuannya bersama rakyat di kawasan itu yang tetap memberi sokongan penuh kepada BN yang telah mencurahkan khidmat bakti kepada mereka selama ini.
“Saya mempunyai keyakinan amat tinggi bahawa pengundi-pengundi di DUN Pelangai ini akan memberi undi pada BN. Inilah satu-satunya tempat di mana yang boleh rakyat bernaung kerana selamanya memang BN memberi tumpuan dalam khidmat bakti sama ada dari segi kebajikan mahupun pembangunan.
“Pengundi-pengundi yang sudah bersiap sedia mengundi pada hari Sabtu ini, 7 Oktober ini dan yakin mereka akan beri undi pada calon BN, Datuk Amizar Abu Adam,” katanya kepada UMNO Online di sini.
Dalam masa yang sama Mahdzir menyeru kepada seluruh pengundi luar agar pulang dan memilih BN.
“Saya menyeru kepada seluruh pengundi-pengundi DUN Pelangai, Parlimen Bentong ini agar dapat balik dan bersiap sedia memberi undi pada BN.
“Percayalah… melalui BN ini dan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan adalah kerajaan BN dan Pakatan Harapan (PH), insya-Allah penduduk di sini akan menikmati kemudahan di bawah kerajaan Pahang sekiranya Datuk Amizar Abu Adam diberikan mandat menjadi wakil rakyat DUN Pelangai,” katanya lagi.
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat, Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli dan BN, Datuk Amizar Abu Adam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Oktober sebagai hari pengundian DUN Pelangai. – UMNO Online