Tidak Pelik Pembangkang Kempen Berteraskan Manipulasi Di Pelangai… Di Johor Pun Sama – Pandak

BENTONG, 6 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata bukan perkara baharu kempen pihak lawan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menjadikan tohmahan dan manipulasi sebagai senjata.

Menurutnya senario yang sama berlaku pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram baru-baru ini dan beliau percaya pengundi di Pelangai cukup bijak menilai sesuatu isu yang ditimbulkan.

“Tidak pelik pun manipulasi menjadi senjata pihak lawan kerana di Johor tempoh hari perkara sama dilakukan dalam usaha mengalih pemikiran pengundi.

“Namun saya percaya pengundi sekarang bijak menilai dari segi apa tohmahan, provokasi serta apa agenda pembangunan yang akan dilakukan oleh setiap calon yang mewakili parti bertanding,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau membantu kempen calon BN, Datuk Amizar Abu Adam yang mengadakan walkabout serta ziarah kasih ke rumah pengundi di Pelangai.

Pandak seterusnya berharap aura gelombang perpaduan di Johor akan singgah di Pelangai Sabtu nanti sekaligus memberi manfaat yang pelbagai kepada masyarakat setempat.

“Harap aura kemenangan rakan parti Kerajaan Perpaduan pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram baru-baru ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pola pengundian Sabtu ini.

“Jadi saya bagi pihak Datuk Amizar merayu kepada pengundi untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri dan pusat kerana dari segi pembangunannya, pelaksanaan, peruntukan, projek-projek yang telah dirancang dan dijanjikan oleh Allahyarham Datuk Seri Johari sebelum ini dapat disambung bakal YB (Yang Berhormat) kita nanti, insya-Allah,” tambahnya.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit