Saya Akan Gunakan Sepenuhnya Baki Berkempen Jumpa Seramai Mungkin Pengundi – Amizar
BENTONG, 5 Okt – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam bertekad untuk berjumpa seramai mungkin pengundi menjelang sehari tempoh berkempen yang akan tamat Jumaat malam.
Menurut beliau baki tempoh berkempen itu akan digunakan sepenuhnya dalam usaha merayu agar pengundi di Pelangai memberikan kepercayaan kepada beliau untuk mewakili masyarakat setempat Sabtu ini.
“Insya-Allah kita akan terus berjumpa seramai mungkin pengundi merayu agar memilih BN Sabtu ini…sudah pasti fokus kita saat-saat akhir itulah pendekatan terbaik dengan bertemu seramai mungkin pengundi di pelbagai tempat termasuklah rumah ke rumah,” katanya kepada UMNO Online di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan walkabout sekitar Pelangai bertemu pengundi dan masyarakat setempat.
Dalam pada itu beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang datang membantu sepanjang kempen PRK berlangsung.
“Kehadiran rakan-rakan yang turut berkempen menaikkan lagi semangat jentera setempat termasuklah diri saya sendiri untuk terus berkempen hingga saat saat akhir, insya-Allah,” tambahnya.
PRK DUN Pelangai diadakan ekoran kematian Datuk Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Okt sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu. – UMNO Online