Selagi Belum Tamat Tempoh Kempen, Selagi Itulah Persepsi Berterusan – Fadzli

BENTONG,  4 Okt – Ketua Penerangan UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal percaya pelbagai andaian akan timbul pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sehingga tamat tempoh berkempen.

Menurut beliau pihak lawan cukup terdesak sehingga menimbulkan pelbagai perkara termasuklah kononnya kemenangan mereka pada Sabtu ini akan membolehkan gabungan itu mengambil alih negeri Pahang.

“Kita tahu strategi mereka ini dan ianya telah bermula sejak kempen awal mereka daripada rumah ke rumah kononnya jika mereka menang kerusi DUN Pelangai ini ada empat wakil rakyat yang akan melompat kepada PN (Perikatan Nasional). Jadi ini adalah satu fitnah jahat yang cuba melaga-lagakan kita sebagai wakil rakyat BN (Barisan Nasional) dan cuba memenangi hati pengundi dengan fitnah sebegini.

“Saya nak ingatkan mereka matlamat tidak menghalalkan cara. Gunalah kaedah lain untuk memenangi hati pengundi bukan cara menabur fitnah sebegini dan saya rasa rakyat bijak menilai dan kami wakil rakyat BN berdiri teguh di belakang Datuk Seri Wan Rosdy (Menteri Besar Pahang- Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail),” katanya kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Memetik laporan, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata gabungan itu mampu mengambil alih pentadbiran Pahang jika menang dalam PRK Pelangai, menerusi penyertaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dari negeri itu.

Muhyiddin membayangkan Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man akan menjadi menteri besar jika ia berlaku.

Fadzli yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang seterusnya menambah pembangkang cukup terdesak sehingga memainkan soal dan andaian berkenaan.

“Memang terdesak sehingga sanggup menabur fitnah sebegitu dan perkara ini tidak berasas tetapi mereka akan guna apa sahaja cara untuk menang… namun saya percaya rakyat lagi bijak menilai apa yang betul,” tambahnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.