Sabtu Ini Nak Pilih Wakil Rakyat, Bukan Mahu Tubuh Kerajaan Baharu – Sharkar
BENTONG 4 Okt – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai diadakan ekoran berlakunya kekosongan setelah kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Seri Johari Harun.
Justeru hari mengundi Sabtu ini adalah untuk memilih wakil rakyat bagi kawasan tersebut dan ia tidak menjejaskan kerajaan negeri mahu pun kerajaan di peringkat pusat, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Berucap pada Ceramah Mega Perpaduan di sini Isnin malam, beliau seterusya menambah sifir manakah yang dipakai okeh pihak lawan yang membangkitkan kononnya boleh memberi kesan kepada Kerajaan Perpaduan hari ini.
“PRK ini diadakan ekoran berlaku kekosongan dan ianya akan menentukan masa depan Pelangai malah PRK ini juga tidak akan mengubah apa-apa…walaupun pihak sana memberitahu bahawa ianya memberi kesan kepada kerajaan persekutuan mahu pun negeri. Saya tidak tahu sifir mana yang dibawa,” katanya.
Ceramah berkenaan turut menampilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalannya yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Sharkar seterusnya menambah PRK ini juga akan memberikan isyarat yang sangat penting kepada masa depan negeri Pahang dan juga kepada negara.
“Kita akan berikan signal kepada negara luar bahawa Malaysia sebuah negara demokrasi dan ada kestabilan politik. Tinggal lagi beberapa hari kita perlu pastikan calon BN Amizar Abu Adam sebagai wakil rakyat di DUN Pelangai, insya-Allah,” ujarnya.
PRK DUN Pelangai diadakan ekoran kematian Johari dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Okt sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu. – UMNO Online