Kerajaan Pahang Peka Dan Prihatin, Jangan Dengar Cerita Bukan-Bukan
BENTONG, 3 Okt – Kerajaan Negeri Pahang sama sekali tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum di negeri berkenaan sebaliknya memberikan tumpuan dan perhatian sewajarnya termasuklah masyarakat Orang Asli.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata tumpuan tersebut merangkumi pelbagai aspek sama ada perumahan atau kebajikan malah dalam soal pendidikan serta lain-lain kepentingan yang melibatkan seluruh rakyat negeri Pahang.
“Kita di Pahang tidak pinggirkan mana-mana kaum malah kita perjuangkan terutama sekali kaum masyarakat Orang Asli supaya sama dengan kaum-kaum lain terutamanya orang Melayu… sebagai contoh pada tahun ini 100 buah rumah kepada Orang Asli di Pahang. Tahun depan naik lagi 20 buah buah rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra dan Santuni Saudaraku di Sg. Gapoi, di sini petang Isnin.
Turut serta Exco Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan pimpinan setempat termasuk dari kalangan masyarakat Orang Asli.
Beliau seterusnya menambah lantikan dalam kerajaan yang melibatkan pemimpin daripada masyarakat Orang Asli memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap masyarakat tersebut.
“Masyarakat Orang Asli mesti dipimpin oleh mereka yang benar-benar menjiwai Orang Asli… kerajaan melantik senator daripda masyarakat Asli.. Ketua Pengarah, Pengarah JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) Pahang sehingga ke hari ini… Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Datuk Mohd Noor pun dari kalangan tuan-puan juga dan lain-lain.
“Begitu juga dengan peruntukan kepada masyarakat Orang Asli… jadi Jangan percaya belah sana yang datang… menakutkan orang dan hasut kita macam-macam dan benda tidak masuk akal… nak tanam dalam minda penduduk dengan pelbagai tuduhan… tidak Islamiklah… menuju sekularlah,” tambahnya. – UMNO Online