Pengundi Pelangai Yakin Kemenangan Amizar Mampu Beri Manfaat Kepada Rakyat

BENTONG, 2 Okt – Tinggal beberapa hari lagi tempoh berkempen pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menunjukkan respon positif untuk menyokong dan mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan Sabtu ini.

Tinjauan UMNO Online mendapati calon yang diketengahkan oleh BN diyakini mampu menarik sokongan pengundi dan merupakan individu yang boleh diterima rakyat.

Bagi Tuan Rohana Tuan Idris, 59, suri rumah mengharap calon BN bagi DUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam diberikan mandat dan dapat melakukan perubahan di kawasan ini.

“Saya mengharapkan sekiranya calon BN Datuk Amizar Abu Adam menang pada PRK ini dapat membuat perubahan di Pelangai terutamanya jalan raya harus diperbesarkan dan perumahan untuk generasi kedua Felda disediakan.

“Perubahan itu ada tapi kena ikut semasa, ada tempat yang lebih maju jadi kami mahu tempat ini lebih maju dari tempat lain. Kalau tidak dapat sepenuhnya dapat separuh pun boleh untuk masyarakat DUN Pelangai ini,” katanya.

Sementara itu Mohd Shahrilan Abdul Rahim, 38, peniaga, percaya Amizar dapat membantu dan memberikan manfaat pada seluruh penduduk Pelangai.

“Saya sebagai anak generasi kedua percaya calon BN Datuk Amizar sekiranya menjadi wakil rakyat dapat membantu dan memberikan manfaat pada rakyat dan insya-Allah sekiranya diberikan peluang. Di sini kebanyakan anak generasi kedua yang mengundi dan harap kerja-kerja menaiktaraf kawasan Felda berterusan dan perlu dititikberatkan.

“Dalam masa yang sama juga harap perumahan untuk generasi kedua perlu diteruskan, dilaksanakan dan dibuktikan sehingga kini tidak nampak lagi perumahan tersebut. Anak- anak muda mengharapkan perumahan tersebut.

“Apabila ada perumahan maka sektor perkerjaan mudah untuk anak-anak di Felda ini dan secara tidak langsung anak-anak muda dapat berkerja dan menambah pendapatan,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Siti Nornaliza Shahrul Anuar, 32, peniaga, berkata sekiranya calon BN diberikan mandat menjadi wakil rakyat di Pelangai, paling utama adalah meningkatkan peluang pekerjaan untuk anak-anak muda di kawasan ini.

“Sektor perkerjaan perlu ditambahbaik… majoriti anak peneroka yang tinggal di sini adalah menjaga ibu bapanya, maka mereka memerlukan peluang pekerjaan yang tetap.

“Sekiranya ada infrastruktur yang boleh menjamin pendapatan dan memberi peluang pada anak muda sudah pasti ramai anak muda yang akan berkerja di sini,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi DUN Pelangai, Pahang pada 7 Okt ini sementara itu undi awal pada 3 Okt.

DUN Pelangai mempunyai 16,456 pengundi termasuk 36 pengundi awal serta tiga pengundi tidak hadir luar negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit