Empat ‘Mat’ Kongsi Pentas Kempen Calon BN Di Pelangai
BENTONG, 2 Okt – Empat ‘Mat’ malam tadi berkongsi pentas berkempen bagi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dalam usaha terus meyakinkan pengundi setempat agar membuat pilihan bersama BN pada Sabtu ini.
Keempat-empat pemimpin berkenaan terdiri daripada Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbi Muda.
Bagi keempat-empat pemimpin berkenaan sepakat berkata, 7 Oktober ini adalah ruang dan peluang untuk rakyat khususnya pengundi di Dewan Undangan negeri (DUN) Pelangai mengekalkan BN sebagai wakil rakyat yang menjaga kepentingan mereka.
Ahmad Maslan memulakan ucapan pembukaan dan seperti biasa celotehnya dihiasi dengan pantun yang menarik tumpuan masyarakat setempat.
Jika tuan pergi memancing,
Dalam baldi diisi umpan;
Kami sekarang sudah kamcing,
Demi generasi masa hadapan.
Meneruskan ucapannya beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian bertanyakan mereka yang berada di perkarangan Bilik Gerakan BN Kampung Hayat sama ada mahu jadi kerajaan atau pun pembangkang, kemudian dijawab oleh mereka yang hadir dengan menyahut untuk menjadi kerajaan.
“Begitulah ceramah saya ditempat lain dan jawapannya sama iaitu mahu menjadi kerajaan. Mahu jadi pembangkang atau mahu jadi kerajaan… kalau pilih calon selain daripada nombor tiga iaitu Datuk Amizar Abu Adam Pelangai akan diwakili oleh pembangkang dan sebaliknya pula jika memilih calon nombor tiga mereka akan jadi kerajaan.
“Tentunya sepertimana yang diketahui umum dan diperkatakan ramai beliau adalah anak tempatan dan anak Felda serta mempunyai kelulusan yang tinggi. Ini adalah resepi yang cukup untuk menjadi wakil rakyat di Pelangai. Selain itu beliau dah lama terlibat dalam NGO dan politik. Ini juga antara resepi yang cukup untuk membolehkan beliau menjadi calon yang boleh menang dan pucuk pimpinan memilih beliau. Insya-Allah beliau boleh mewakili masyarakat di Pelangai jika mendapat mandat Sabtu ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu pula berkata penyokong dan pendukung PH yang mengundi di DUN Pelangai perlu memberikan undi masing-masing kepada calon BN, Datuk Amizar Abu Adam pada Sabtu ini.
“Kemenangan di Pelangai akan memberikan lebih semangat lagi kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk bekerja lebih baik membangunkan Pahang bersama dengan kerajaan pusat.
“Kita tengok 7 Okt nanti borang 14 pukul 7.30 malam kita dah tahu dah… Pelangai kita akan menang dengan majoriti besar, insya-Allah. Ombak hijau memang pukul kuat… namun ombak pukul macam mana pun akan patah balik… patah balik sebagaimana di Simpang Jeram dan Pulai… dan ombak itu juga akan patah balik di Pelangai insya-Allah,”ujarnya.
“Kepada semua yang mengundi PH, pada hari mengundi nanti jangan cari simbol PH…. kali ini cari ‘dacing’… ya… pertama kali akan pangkah ‘dacing’… kena pangkah kali ini untuk membantu rakan kita dan inilah harapan kita semua untuk membantu kemenangan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam Sabtu ini.”
Sembang santai berkenaan diakhiri ucapan Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbi Muda dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang sependapat kemenangan BN di Pelangai memberi pelbagai manfaat untuk masyarakat setempat dan turut yakin calon BN, Datuk Amizar Abu Adam akan memperoleh kejayaan, namun perlu sama-sama bekerja kuat sehingga tamat tempoh berkempen. – UMNO Online