PRK DUN Pelangai: Komitmen Terus Diberikan Kerajaan Untuk Rakyat – Ahmad Jazlan
BENTONG, 3 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yakin masyarakat di Pelangai ini harus mengambil peluang untuk menunjukkan sokongan kepada kerajaan sama ada negeri mahupun kerajaan persekutuan.
Katanya, kerajaan persekutuan dan negeri berusaha untuk membangunkan kawasan itu sekiranya masyarakat memberi sekali lagi undi dan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
“Saya yakin dan komitmen yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bahawa akan melihat keutamaan Pelangai untuk dibangunkan dan janji kerajaan ini sebenarnya janji yang sentiasa ditunaikan dan tidak pernah diabaikan.
“Ini adalah kali kedua dalam tempoh lebih beberapa bulan lalu kerana kekosongan kerusi dan kali pertama pada PRU (Pilihan Raya Umum) sudah pun memberi sokongan dan Alhamdulillah, BN menang dengan majoriti besar di sini dan ini kali kedua sudah tentu sekiranya kepercayaan kali kedua diberikan oleh rakyat di sini kepada kerajaan BN.
“Saya cukup yakin Kerajaan Perpaduan Madani yang di Putrajaya dan Perpaduan Madani di negeri Pahang ini akan memberi perhatian. Sekiranya rakyat sudah beri dua kepercayaan sudah tentu kita akan menghargai dan membalas jasa tersebut,” katanya ketika ditemui UMNO Online pada kenduri kampung mesra peserta Felcra, di sini.
Turut hadir Pengurus Besar Kumpulan Perladangan Felcra Datuk Idris Lasim, kakitangan dan peserta-peserta Felcra Chemomoi, Pelangai.
Beliau yang juga Pengerusi Felcra Berhad menyifatkan satu kerugian sekiranya masyarakat Pelangai tidak memilih calon BN Datuk Amizar Abu Adam.
“Adalah rugi sekiranya rakyat Pelangai tidak memberi sokongan pada kerajaan. Kemenangan atau sebaliknya, benar ianya tidak akan memberi apa-apa kesan pada kedudukan kerajaan negeri Pahang apatah lagi ini DUN dan tiada sangkut paut dengan kerajaan Persekutuan.
“…dan sokongan ini akan diterjemahkan dalam bentuk ingatan dan membalas budi oleh rakyat di sini oleh pihak kerajaan. Sudah tentu ada keistimewaan selepas ini dan apa diharapkan kejayaan BN memantap dan mengukuhkan pimpinan kerajaan di peringkat negeri,” jelasnya.
Pada masa yang Ahmad Jazlan turut mendengar pandangan-pandangan dalam usaha menambahbaik kepentingan peserta-peserta Felcra.
“Saya turun ke bawah Felcra untuk mendengar pandangan-pandangan dari peserta, ketua peserta dan juga kakitangan untuk menambahbaik pengurusan dan kepuasan pelanggan. Pelanggan kami adalah rakyat dan di sini ramai peserta Felcra.
“Saya lihat perkembangan amat positif di kalangan peserta Felcra untuk mendukung BN dan merayu kepada keluarga peserta Felcra untuk memberi sokongan calon BN pada PRK, 7 Oktober nanti,” ujarnya. – UMNO Online