Rugi Sekiranya Tidak Memilih Datuk Amizar – Muhamad Khizri
BENTONG, 1 Okt – Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim menganggap calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Datuk Amizar Abu Adam adalah calon yang berkaliber, berwawasan dan mempunyai karisma tersendiri.
Justeru katanya, amat rugi sekiranya rakyat Pelangai tidak berikan mandat pada Amizar untuk mewakili rakyat di kawasan itu serta anak-anak Felda pada pilihan raya kecil (PRK) ini.
“Rugilah… Datuk Amizar ini ada kaliber, karisma yang sudah lama berpolitik dan anak Felda sekiranya penduduk Felda tidak mengundi. Kalau tidak mengundi beliau maka siapa lagi yang berikan kemudahan pada generasi Felda.
“Inilah ruang untuk anak Felda yang bertanding pada PRK DUN Pelangai ini mewakili parti kerajaan dan dapat mewakili rakyat. Apa salahnya diberikan peluang pada anak Felda untuk membangunkan kawasan ini,’ katanya.
Beliau berkata demikian di Dataran Felda Dataran Kemasul, di sini malam tadi.
Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Ketua Penerangan Wanita UMNO Datuk Rosni Zahari; Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar dan pemimpin setempat.
Tambah Muhamad Khizri, pada siri kempen PRK DUN Pelangai ini pembangkang suka membuat tohmahan berbanding memikirkan soal kebajikan rakyat.
“Banyak perkara-perkara yang tidak elok dikeluarkan dan tidak sesuai untuk diangkat sebagai pemimpin di sini. Bukan hari ini sentimen agama dimainkan oleh Pas, tetapi yang lebih dari itu hasutan pada anak-anak muda supaya membenci kerajaan yang sedia ada.
“Sepatutnya mendidik anak-anak muda ke arah yang lebih baik. Seandainya pembangkang menang di sini apa yang hendak dibuat? Apa yang akan buat? Apa yang akan diberikan pada penduduk Felda, bantu anak muda serta membangunkan kawasan ini?” katanya.
Dalam masa yang sama kata Muhamad Khizri lagi, dengan pelbagai inisiatif yang diberikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan diterima baik penduduk di Pelangai.
“Insya-Allah… dengan momentum yang ada dan komitmen yang diberikan oleh Menteri Besar Pahang, pengumuman-penguman dan inisiatif yang baik diterima oleh rakyat, maka teruskan tekad mengundi BN,” jelas beliau. – UMNO Online