Wan Rosdy Harap Pengundi Waspada Fasa Kedua Tempoh Berkempen

BENTONG, 1 Okt –  Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap masyarakat khususnya pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai berwaspada pada saat-saat akhir tempoh berkempen.

Ini kerana katanya tempoh berkenaan amat penting agar pilihan yang akan dibuat dalam memilih seorang wakil rakyat benar-benar tepat sekaligus mampu mewakili DUN Pelangai.

“Sepertimana yang saya selalu sebutkan… harap pengundi dapat tengok ‘track record’ prestasi kerajaan negeri yang ada di Pahang yang mana kita banyak selesaikan hutang, tingkatkan hasil negeri, bantuan prihatin dan sebagainya lagi.

“Yang membimbangkan saya sedikit jika ada mereka yang lebih percaya kepada sentimen atau persepsi. Ini apa yang berlaku sebelum ini sebab selepas keputusan PRU (Pilihan Raya Umum) baru-baru ini saya berasa di luar jangkaan sedikit. Setelah saya berbincang dengan kawan-kawan serta analisa, saya dapati bahawa rupanya-rupanya persepsi dan sentimen telah berjaya mengongkong pemikiran pengundi untuk mengundi mereka,” katanya kepada UMNO-Online.

Wan Rosdy seterusnya menambah jika masing-masing melihat kepada prestasi kerajaan negeri,  tidak ada sebab di Pahang ini mereka tidak berikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

“Sebab prestasi ini daripada dahulu lagi ketika saya belajar dan bekerja ianya adalah ukuran kepada mana-mana pihak untuk menilai individu atau organisasi tersebut. Sebabnya jika kita tidak melihat kepada prestasi dalam sesebuah organisasi, kalau tersilap pilih tidak mempunyai prestasi yang baik… syarikat tersebut akan menghadapi masalah dan mungkin bankrap. Jadi analoginya dalam kerajaan pun sebegitu juga.

“Tetapi bab politik ini… oleh sebab mainan pihak belah sana begitu licik sekali, mereka boleh mengelirukan rakyat. Jadi saya berharap pada 7 Oktober ini pengundi di Pelangai keluarlah beramai-ramai dan lihatlah prestasi kerajaan hari ini apa yang telah kerajaan buat, apa yang telah kerajaan bantu mereka di Pelangai khususnya,” tambahnya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai pada 7 Okt ini diadakan ekoran kematian penyandang Datuk Seri Johari Harun akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

Pada PRU15, Johari daripada BN menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim yang mendapat 3,260, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri dengan 2,031 undi dan calon Pejuang Isa Ahmad hanya memperoleh 65 undi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit